Tuesday, August 26, 2008

Bajet 2009 perlu sentuhan lestari




Eksklusif Bersama Prof Dato' Ir. Dr Zaini Ujang
Timb.Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi )
Universiti Teknologi Malaysia


BAJET 2009 yang akan dibentangkan pada 29 Ogos ini perlu dirangka dengan mengambil kira sekurang-kurangnya empat komponen pelestarian alam sekitar berbentuk global, serantau dan lokal iaitu ketidaktentuan harga bahan api fosil, krisis makanan, perubahan iklim dan ekosistem bandar. Ketidaktentuan harga bahan api fosil masih perlu diberi perhatian walaupun ketika artikel ini ditulis harga minyak untuk penghantaran bulan September berada pada paras AS$112 setong, iaitu termurah dalam tempoh tiga bulan. Kita sedia maklum harga minyak pernah melebihi AS$147 setong, iaitu tertinggi dalam sejarah. Ramai pakar komoditi berpendapat masa depan harga minyak dipengaruhi keadaan politik di negara dan rantau pengeluar minyak utama, khususnya Asia Barat yang memang sering bergolak.



Oleh itu, strategi untuk tidak terlalu bergantung kepada bahan api fosil perlu segera dirangka. Sweden, sebagai contoh paling drastik, sudah merangka dasar jelas untuk menjadi negara tidak lagi bergantung kepada minyak bagi penjanaan tenaga menjelang 2020. Untuk itu, semua sektor termasuk pengangkutan dirangka semula untuk mengguna sumber tenaga bukan fosil dan meningkatkan tahap kecekapan penggunaan tenaga. Ini membabitkan biaya besar untuk penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tenaga baru, insentif kewangan untuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan bersih (termasuk nuklear), kempen kesedaran awam untuk menjimatkan penggunaan tenaga dan cukai alam sekitar lebih tinggi bagi penggunaan berlebihan bahan api fosil.


Banyak negara ketika ini memberi pengecualian cukai kereta hibrid. Pada hemat saya, krisis tenaga merangsang minat dan kecenderungan lebih tinggi kepada semua pihak untuk lebih proaktif dan mengamalkan gaya hidup lestari. Jalan raya di Kuala Lumpur ketika ini, misalnya tidak sesesak enam bulan lalu disebabkan peningkatan mendadak penggunaan pengangkutan awam. Sementara itu, sektor swasta berlumba-lumba untuk mengurangkan kos tenaga menggunakan pelbagai teknologi baru dan amalan lestari. Suasana ini menunjukkan bahawa tidak semua krisis berakhir dengan keburukan dan masalah lebih parah. Krisis tenaga menyediakan justifikasi dan motivasi untuk kita melakukan transformasi dalam penggunaan sumber, khususnya sumber bahan api. Selain itu, krisis makanan juga perlu diberi perhatian dalam Bajet 2009. Memang kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengorak langkah memberi penekanan lebih kepada bidang pertanian dan industri asas tani.




Pelbagai inisiatif dan insentif baru diperkenalkan, termasuk usaha mengasingkan data perangkaan dan laporan komoditi selain getah, kelapa sawit dan koko bagi memudahkan pemantauan perkembangan sektor pertanian berteraskan makanan. Selain itu, Malaysia juga perlu mengorak selangkah ke depan untuk memastikan sektor pertanian dilaksanakan dengan pendekatan sepadu membabitkan pengurusan tanah, sumber air, baja dan sisa tanaman. Ketika ini, sektor pertanian memberi sumbangan besar kepada pencemaran alam sekitar. Sumber air di kawasan ternakan sering kali tercemar menerusi najis ternakan. Kawasan ladang dan tanaman sayur pula menghasilkan sisa racun serangga dalam sistem akuatik. Hal ini tambah ketara dengan masalah bau dan lalat. Dalam hal ini, Bajet 2009 perlu dirangka untuk memastikan sektor pertanian berkembang selari dengan hasrat menjadikan Malaysia negara bersih, bebas cemar dan indah. Antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan ialah insentif kewangan bagi penggunaan konsep memaksimumkan sumber ladang secara bersepadu dan amalan terbaik lestari.


Dalam konteks penternakan kambing misalnya, najis haiwan boleh dijadikan baja atau sumber tenaga boleh diperbaharui untuk keperluan ladang. Sektor perikanan pula perlu diberi galakan untuk memastikan air kolam dirawat, kemudian dikitar semula atau untuk siraman tanaman. Tindakan tegas secara perundangan mesti dilakukan supaya air kolam yang tercemar tidak dialirkan ke sungai.




Selain itu, Bajet 2009 juga perlu mengambil kira peranan Malaysia dalam konteks global menerusi isu peningkatan suhu bumi. Perlu ditegaskan bahawa kita perlu menghargai langkah pihak kerajaan kerana buat pertama kali dalam sejarah bajet tahunan, isu perubahan iklim diberi sorotan khusus dalam Bajet 2008 lalu.


Secara khusus, kerajaan merancang untuk menarik pelaburan dalam projek pengurangan pelepasan gas rumah kaca, penyumbang kepada pemanasan global. Menerusi Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM), syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah kaca akan diberi sijil Certified Emission Reduction (CER) yang boleh diperdagangkan. Bagi menggalak syarikat menyertai projek ini, pendapatan diterima menerusi perdagangan sijil CER diberi pengecualian cukai. Sudah tiba masanya, Malaysia mendahului negara membangun menjadi negara penyumbang dalam konteks pengurangan pelepasan gas karbon. Sekali imbas kita seolah-olah membebankan diri sendiri yang selama ini 'dibebankan' kepada negara maju. Tetapi jika dilihat daripada perspektif lebih jauh, kita akan lebih bersedia pada masa depan untuk menggerakkan pembangunan negara berasaskan ekonomi karbon neutral (neutral carbon economy).


Ketika ini hampir semua negara maju termasuk Amerika Syarikat dan Australia sudah merangka strategi mengubah paradigma pembangunan daripada ekonomi konvensional yang sarat dengan pelepasan karbon kepada ekonomi karbon neutral. Pada hemat saya, paradigma ekonomi sedemikian akan menjadi 'syarat tambahan' untuk membolehkan sesebuah negara, sesuatu produk atau perkhidmatan memasuki pasaran negara maju tidak lama lagi.



No comments: