AKHLAK SEORANG ANAK KEPADA IBUNYA
-disumbangkan oleh Mohd Rahimi Abd Razak: bekas exco lujnah dakwah & tarbiyyah Sekretariat Rakan Masjid Sultan Ismail melalui emel <magnetil_jr@yahoo.com>
Bismillahirrahmanirrahim. Dengan menyebut namamu Ya Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian hanyalah untukNya,
Tuhan sekalian alam.
SOALAN :
Bagaimanakah pandangan Islam sekiranya seorang anak tidak menghormati ibunya dan tidak menunaikan kewajipan terhadapnya, kerana sikap ibu itu tidak menyenangkan hati si anak, contohnya ibu itu tidak mahu berterima kasih apabila diberi sesuatu oleh anaknya, malah sebaliknya dia mengeji dan mencemuhnya. Ini menyebabkan si anak tidak mahu lagi menunaikan kewajipan yang sepatutnya kepada ibunya. Adakah anak itu berdosa ?
JAWAPAN :
Lazimnya seorang ibu tidak membenci anaknya kecuali ada sesuatu perkara yang menyinggung perasaannya. Secara logiknya, sesuatu itu tidak akan terjadi kecuali ada sebab-sebabnya. Oleh itu, si anak tadi hendaklah mencari sebab mengapa ibunya bersikap demikian. Tidak wajar bagi anak untuk terus menyalahkan ibunya tetapi mungkin kesalahan itu berpunca daripada diri anak itu sendiri.
Si anak hendaklah berikhtiar untuk menarik hati ibunya supaya kasih kepadanya kerana yang demikian itu menyebabkana Allah swt meredhai dirinya, sebagaimana sabda Nabi saw, " Keredhaan Allah swt disebabkan keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah swt disebabkan kemurkaan ibu bapa".
Allah swt telah memberi petunjuk kepada setiap anak untuk menunaikan kewajipan kepada ibu bapa. Sekiranya kewajipan itu diingkari maka sudah tentu hukumnya berdosa. Petunjuk Allah swt itu di antaranya ialah, "
Tuhanmu mewajibkan supaya engkau tidak menyembah kecuali hanya kepada-Nya (Allah swt) dan berbaktilah kepada dua ibu bapa.Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sekali telah tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (dengan kata-kata yang kasar) sekalipun perkataan "Ah!", janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (lemah lembut) dan sopan santun". (Surah al-Isra' ayat 23)
Dikisahkan, semasa mengerjakan tawaf, Rasulullah saw bertemu dengan seorang anak muda yang bahunya melecet. Selepas selesai tawaf, Rasulullah saw bertanya kepada pemuda tersebut, " Kenapa bahumu itu?" Jawab pemuda tersebut, " Ya Rasulullah, saya dari Yaman. Saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mengasihani dan tidak pernah melepaskannya. Saya berpisah dengan ibu saya hanya semasa ke bilik air, semasa mengerjakan solat atau semasa rehat. Selebihnya saya selalu mendukungnya di bahu saya".
Kemudian pemuda itu bertanya, "Ya Rasulullah, apakah aku sudah tergolong dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua?" Nabi saw sangat terharu mendengar pengakuan pemuda tersebut, lalu Baginda saw memeluknya sambil bersabda, "Sungguh Allah swt redha kepadamu, kamu anak yang soleh, anak yang berbakti. Tetapi anakku, ketahuilah, cinta orang tuamu tidak akan terbalaskan oleh pengorbanan dan kebaikanmu".
Kisah di atas memberikan pengajaran berharga kepada kita bahawa kasih sayang dan cinta seorang ibu kepada anaknya tidak akan terbalas dan tidak akan ternilai dengan apapun. Perjuangan seorang ibu untuk seorang anak sangat luar biasa. Ketulusan dan kesabarannya dalam menjaga seorang anak sejak mula mengandung sehingga anak dewasa tidak dapat dinilai. Seorang ibu rela mempertaruhkan nyawanya hanya untuk kehidupan seorang anak. Bahkan, munajat do'anya tidak pernah terputus untuk anaknya. Si ibu selalu berharap dan memohon kepada Allah swt agar anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Inilah beberapa alasan yang menyebabkan kita sebagai seorang anak wajib hukumnya untuk berbakti dan memuliakan ibu. Secara khusus, Allah swt telahpun memerintahkan kita untuk berbakti dan memuliakannya sebagaimana Firman Allah swt dalam Surah Luqman, "
Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah tempat kembalimu." (Surah Luqman ayat 14)
Rasulullah saw pun menegaskan dengan mengatakan tiga kali menyebut nama ibu dan kemudian bapa untuk berbakti kepada orang-orang yang dikasihi. Dalam riwayat lainnya, Rasulullah saw melarang seorang sahabat untuk berjihad di jalan Allah swt dan memerintahkannya untuk menjaga ibunya yang masih hidup. Utusan Allah swt itu bersabda, " Jika demikian tinggallah bersamanya kerana syurga berada di bawah telapak kakinya".
(HR Ibnu Majan dan Nasaie)
Kini, semasa ibu kita masih hidup, sudahkah kita memuliakan dan menyayanginya dengan sepenuh hati? Sudahkah kita memohon maaf atas kesilapan kita kepadanya? Dan, apabila ibu kita terlebih dahulu pergi menghadap Allah swt, berapa kerap kita memohonkan keampunan dan berdo'a untuk kesejahteraannya?
Sudahkah kita memuliakan ibu dan bapa kita, dan mendo'akan mereka dengan do'a, " Wahai Tuhanku, ampunilah kedua orang tuaku dan kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku masih kecil".
No comments:
Post a Comment