Monday, April 7, 2008

REAKSI SAUDARA MUSLIM DI BELANDA

REAKSI SAUDARA MUSLIM DI BELANDA

Pertubuhan-pertubuhan Islam di Belanda sendiri telah memberikan reaksi yang mesti kita teliti sebelum sewenang-wenangnya melancarkan boikot itu.
Agensi Berita Belanda (ANP) telah melaporkan bahawa jurucakap National Committee of Maroccans (LBM) telah menggambarkan betapa kecenderungan untuk berlakunya rusuhan di Belanda adalah amat rendah, hasil tindakan efektif kerajaan Belanda menangani isu ini. ANP juga menyatakan bahawa Mustafa Biltunku, Imam dari Eyup Sultan Mosque di Amsterdam tidak menonton video itu dan memberikan komentar, “jangan pedulikan filem itu. Seandainya kita terus melayannya sedangkan ia tidak layak untuk diberi liputan, selagi itulah ia akan menjadi lebih penting. Itu nasihat saya kepada orang ramai”.
Imam Ali Kartal dari Mescid-i Aksa Mosque milik pertubuhan Milli Gorus yang terletak di Utrecht pula mengatakan bahawa beliau tidak akan mempedulikan isu filem tersebut untuk khutbah Jumaatnya. “Kita tidak sepatutnya menari mengikut rentak Wilders. Lelaki itu tidak berbaloi untuk dilayan. Dan jika jemaah masjid mempunyai sebarang persoalan, nasihat saya ialah jangan bertindak balas”. Kartal yang hanya menonton sebahagian filem itu mengatakan bahawa Geert Wilders sememangnya berniat mahu menghasilkan filem yang anti-Islam, dan semua orang mengetahuinya.
Bekas Imam Besar pertubuhan Milli Gorus itu tadi, M. Hulusi Uyne juga tidak berasa apa-apa terhadap filem itu. Katanya, “reaksi sebegini (seperti filem Fitna ini) sudah kita lihat semenjak turunnya wahyu al-Quran. Al-Quran dan Islam adalah cukup agung untuk menepis dakyah sebegini”.
ANP juga melaporkan bahawa seorang ilmuan Islam di Belanda, Sheikh Fawaz, telah menyeru umat Islam supaya bertenang. Beliau berucap kepada ratusan Muslim di Reormond. Katanya, “kita tidak sepatutnya pergi membaling batu ke tingkap hanya kerana filem ini, kerana itulah sebenarnya yang dimahukan oleh Geert Wilders”. Beliau menyampaikan ucapan ini di dalam sesi debat bersama kaum Kristian di dalam sebuah majlis yang diatur oleh gerakan Pemuda Salaf al-Feth.
Sheikh Fawaz menyimpulkan bahawa, “Geert Wilders telah memetik ayat-ayat al-Quran di luar konteks”.
PAKAI KASUT MUSLIM EROPAH

Sebagai bekas Imam yang pernah bertugas beberapa tahun di Eropah, saya tidak akan sama sekali bertindak melulu mengambil jalan mudah dengan melancarkan boikot, hatta demonstrasi. Banyak perkara yang mesti dipertimbangkan, termasuklah mempersoalkan peranan Muslim dalam membina imej Islam itu sendiri di mata rakyat Eropah dan dunia umumnya.
Sejauh manakah integrasi Muslim di Belanda, di Eropah dan di dunia umumnya dengan masyarakat non Muslim di sekitarnya? Selarikah ajaran Islam yang tercatat di dalam al-Quran, dengan perlakuan Muslim di sana sini? Rasa hormat orang kepada kita tidak perlu dipaksa-paksa. Ia datang sendiri. Apabila kita layak menerimanya.
Saya mengendalikan Belfast Islamic Centre pasca kejadian September 11. Masjid kami dibaling batu, umat Islam dimaki hamun, tetapi ia hanya seketika. Sikap tenang dan keterbukaan kami dalam menyediakan dialog dan ruang belajar serta mengajar, telah banyak merawat persepsi buruk terhadap Muslim.
Ayat-ayat tentang peperangan yang dipetik oleh Geert Wilders itu sememangnya ada di dalam al-Quran. Tetapi ia perlu dihuraikan mengikut konteks yang betul. Apakah wajar misalnya Muslim berhujah, banyaknya tuduhan zina terhadap Nabi di dalam Bible sebagai punca kepada seks bebas di Belanda dan Barat? Hal-hal seperti ini memerlukan kepada engagement dan bukannya isolation atau segregation apatah lagi konfrontasi yang tidak kena tempat.

No comments: