Makna dialog peradaban bagi remaja
Oleh: DR. SIDEK BABADIALOG peradaban adalah sesuatu yang baru malah asing bagi remaja Islam di Malaysia. Meskipun ia baru dan asing, tidak pula bermakna remaja tidak boleh mula membincangkannya dalam batas pemikiran yang ada.
Yang penting, perlu ada pedoman supaya isu ini dapat dibincangkan secara sihat dan berguna kepada remaja apabila dewasa kelak.
Sebagai remaja Islam sudah tentu ada asas akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang dijadikan pedoman dalam kehidupan beragama. Dalam tradisi Islam, agama adalah sumber peradaban. Tentu ada kelainan antara peradaban yang lahir dari sumber wahyu dengan sistem kepercayaan yang lahir dari faktor falsafah, budaya, tradisi nenek moyang dan fahaman tertentu.
Perbezaan seperti itu memang berlaku kerana faktor sejarah, interpretasi, kepentingan kelompok dan banyak sebab yang lain. Dalam konteks beragama, al-Quran memberikan landasan lakum deenukum waliadeen iaitu “Kamu agama kamu dan kami agama kami”.
Asas ini menarik untuk dibincangkan kerana masyarakat Malaysia sifatnya berbilang agama, kepercayaan malah sumber ambilan tamadun juga terdapat sumber yang tidak serupa.
Sudah tentu kelainan dan perbezaan terus wujud sedangkan proses bina negara dan integrasi menuntut adanya toleransi di kalangan pengamal-pengamal agama dan juga peradaban.
Yang penting di sini apakah etika untuk berbeza yang membolehkan lahirnya sifat toleransi supaya tidak wujud salah faham yang boleh menjejaskan akidah dan juga sistem kepercayaan.
Di institusi pengajian tinggi (IPT) terutama di tahap persediaan atau rendah, interaksi sosial berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar berada di tahap yang baik.
Di kantin, di bilik darjah dan di padang permainan anak-anak tidak mengenal makna perbezaan dan kelainan.Tetapi apabila memasuki peringkat menengah, polarisasi mula tampak dan di IPT pola pergaulan semakin ketara dan ia memberi petanda yang kurang enak bagi Malaysia pada masa depan.
Sekolah atau IPT adalah tapak semai yang terbaik bagaimana proses memahami perbezaan dapat di pupuk dan pendekatan memahami persamaan dapat di semai. Yang berbeza biarlah berbeza tetapi aspek yang merintis titik persamaan yang banyak patut disuburkan dan menjadi jambatan kepada hubungan manusia dan kemanusiaan.
Nilai-nilai menghormati manusia sama ada guru dalam kalangan semua bangsa, ibu bapa, orang tua, orang yang memerlukan, jiran umpamanya adalah nilai-nilai fitrah yang sifatnya sejagat dan perlu diamalkan oleh generasi muda.
Adalah suatu amalan yang baik jika seorang remaja Islam sanggup memimpin seorang tua Hindu menyeberangi jalan atau bertegur sapa dengan ibu bapa beragama Buddha bila berselisih atau bertemu. Hal yang sama boleh berlaku bila seorang remaja Kristian berhenti semasa menunggang motosikal untuk menolong seorang Islam yang dilanggar lari dan membawanya ke hospital.
Perbuatan seperti ini walaupun kelihatan ideal tetapi jika ia menjadi amalan generasi muda ia mempunyai kualiti kemanusiaan yang baik dan patut menjadi amalan. Apalagi kalau konteks sosial berlaku secara perkauman, ia menyebabkan tidak berlakunya interaksi atau hubungan sesama manusia yang sihat dan membantu ke arah integrasi.
Dalam konteks Malaysia, acuan bernegara sudah bermula sejak lama. Perjalanan sejarah di Melaka menjadikan kota itu sebuah kota kosmopolitan atau antarabangsa kerana daya tarikan dagang dan kestabilan yang wujud hingga menyebabkan Cina Peranakan, India Peranakan merasa selesa melakukan adaptasi dengan budaya setempat tanpa perlu menukar agama dan sistem kepercayaan.
Di saat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan banyak peristiwa kompromi berlaku di mana status orang-orang yang mendatang diberikan status kekal dan taraf kerakyatan di samping kesediaan mereka melakukan kontrak sosial menghormati status agama Islam, Bahasa Melayu, Hak Istimewa, Tanah Simpanan dan lain-lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Asas-asas teras dalam proses bina negara ini amat penting difahami oleh generasi muda supaya tidak timbul ungkitan atas asas zaman dan suasana sudah berubah maka asas-asas kontrak sosial juga harus berubah sama.
Memahami perjalanan sejarah pembentukan Tanah Melayu dan Malaysia bukanlah suatu hal yang mudah. Integrasi kaum yang terdapat dilihat sebagai suatu kekuatan dan ia juga boleh menjadi suatu asas kebimbangan. Oleh itu amat penting generasi muda Islam memahami sejarah kontrak sosial yang menjadi landasan terbinanya Malaysia pada hari ini.
Generasi remaja bukan Islam juga harus mempunyai kecenderungan yang sama kerana tanpa memahami sejarah silam tidak mungkin wujud pencapaian seperti yang kita lihat pada hari ini. Gangguan seperti 13 Mei 1969 harus memberi peringatan kepada semua bahawa kecenderungan yang melampau oleh mana-mana pihak terhadap asas-asas yang disepakati boleh menyebabkan lahirnya ketidakstabilan.
Oleh itu, dialog tamadun harus berkembang dalam generasi muda. Ada keperluan yang mendesak supaya generasi muda hari ini memulakan dialog sama ada secara formal atau pun tidak terhadap sejarah kemajuan Malaysia hari ini. Apakah asas mengagumi Barat tanpa adanya usul periksa tentang falsafah dan hala tujunya sesuatu yang baik atau sebaliknya. Apakah meremehkan budaya dan sistem kepercayaan sendiri merupakan jalan terbaik ke arah maju dan moden.
Sejarah bangsa-bangsa di Malaysia adalah sejarah tamadun silam yang menyumbang ke arah persefahaman yang tinggi hingga menyebabkan kesedaran ke arah integrasi boleh berlaku.
Orang-orang Melayu yang beragama Islam menjadikan Islam sebagai indikator penting dalam menghadapi proses maju dan membangun. Kesedaran seperti ini adalah wajar kerana Islam adalah agama peradaban. Konsep umat yang ditindikkan kepada bangsa Melayu menyebabkan orang- orang Melayu berfikir lebih alamiah bukannya sempit dalam batasan kaum dan bangsa.
Bayangkan tanpa Islam diperkukuhkan kepada jiwa bangsa Melayu, ia boleh menyebabkan kepimpinan Melayu memiliki pemahaman kaum yang sempit. Akhirnya menimbulkan tidak puas hati kepada bangsa-bangsa lain.
Generasi muda Islam harus melihat pengukuhan jiwa agama terhadap mereka sebagai faktor kestabilan. Tanpa kekuatan agama yang mendasari pembentukan peribadi dan komitmen hidup, generasi muda Melayu boleh menjadi amat liberal dalam berfikir hingga suasana keterbukaan menyebabkan mereka hilang jati diri dan tidak melihat kepentingan agama, nilai dan etika sebagai sesuatu yang amat bermakna dalam masyarakat majmuk.
Asas-asas Islam seperti amanah, adil, jujur, ikhlas, tulus dan telus jika mendasari amalan generasi muda bakal menjadi binaan kukuh apabila mereka dewasa nanti. Dalam memberikan daya kepimpinan terhadap orang lain, mereka tidak lupa asas-asas di atas sebagai sesuatu yang amat tinggi nilainya.
Dalam masa yang sama generasi muda bukan Islam harus juga memiliki nilai-nilai murni yang sama. Ini supaya jalur kemajuan yang berkembang adalah atas nilai-nilai bersama dan kemanusiaan tinggi yang amat diperlukan dalam proses bina negara.
No comments:
Post a Comment