Monday, April 7, 2008

Filem “FITNA”: Tentukan Pendirian Kita

Dalam suasana merdeka ini, kita patut kembali melihat pendirian yang betul terhadap dunia yang pernah menjajah kita. Sikap yang adil amat sukar dibuat oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan beberapa faktor. Kekuatan dan kemegahan Barat yang berjaya mempengaruhi minda manusia. Juga kemunduran atau kelemahan dunia Islam yang menjadikan seakan segala falsafah Islam yang hebat bagaikan dongengan yang tidak berpijak di alam nyata.
Baru-baru ini, dunia khususnya dunia Islam dikejutkan lagi suatu tindakan yang boleh menggugat kewibawaan umat Islam. Tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam, sekali lagi pihak Barat iaitu seorang anggota parlimen Belanda dari Parti Kebebasan, Geert Wilders, telah menerbitkan filem pendek yang bertajuk “Fitna”.
Klip video selama 15 minit ini ternyata dengan jelas cuba menghina agama Islam, menghina Rasulullah SAW dan mencaci kesucian kitab suci Al-Quran. Klip video tersebut memaparkan beberapa ayat-ayat suci Al-Quran yang dikaitkan dengan terorisme. Umat Islam seluruh dunia nyata tersinggung dan marah dengan klip video tersebut yang mempergunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk menuduh agama Islam sebagai agama yang mendorong umatnya kepada keganasan sedangkan Islam adalah agama yang menjadikan kasih sayang dan keselamatan sebagai antara nilai asas.

Sebaik sahaja filem ini disebarluaskan melalui internet, umat Islam sekali lagi menggunakan pelbagai cara untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap fitnah yang dilontarkan dalam filem tersebut. Ada yang berdemontrasi, ada yang sekadar mengeluarkan pendirian secara lisan melalui media, ada yang mengadakan kempen dan tidak juga banyak penulisan dan pendapat yang dinyatakan juga disebarluaskan melalui teknologi internet. Semua ini merupakan langkah dalam menyatakan pendirian tegas terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

Menurut ‘Ali Tantawi, “Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan- kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam menghina Islam.”(Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat, m.s. 45, Jeddah: Dar al-Manarah).

Umat Islam hari ini secara tidak langsung yang sebenarnya menjadi punca keberanian ahli parlimen Belanda itu terhadap perbuatan menerbitkan filem yang menghina Islam itu. Ini kerana, kita telah dijajahi pelbagai propaganda Barat dalam melemahkan dan melalaikan umat Islam daripada menghayati nilai dan makna ajaran agama Islam yang sebenarnya. Atas dasar globalisasi dan mengikut perkembangan semasa, umat Islam sanggup mengikis nilai dan makna yang berada dalam ajaran Islam.

Maka tidak hairanlah, kejadian penghinaan terhadap agama Islam yang suci ini telah dilakukan secara beraninya tanpa memikirkan perasaan penganutnya. Kejadian penerbitan filem “Fitna” seolah-olah tidak mengambil pengajaran terhadap penghinaan Rasulullah SAW sebelum ini dalam isu karikatur oleh negara Denmark. Dimanakah pendirian kita sebenarnya? Sejauhmana kita mempertahankan pendirian tegas dan hikmah terhadap isu-isu seumpama ini? Adakah sekadar melatah sahaja? Benarkah kita mempertahankan kesucian agama Islam atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Justeru, tindakan sewajarnya mesti dilaksankan dengan penuh komited agar agama Islam yang pernah dikagumi suatu ketika dahulu kembali disegani. Masyarakat Islam boleh mengambil tindakan mengikut saranan oleh ulama’ terkemuka dunia, Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi. Dalam memberikan respon terhadap klip video tersebut, Al-Qaradhawi mencadangkan lima perkara yang boleh dan perlu dilakukan oleh umat Islam.

1. Hujah-hujah ilmiah dan akademik perlu disebarkan untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam, dan hujah-hujah ini perlu diterbitkan dalam pelbagai bahasa agar masyarakat seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.

2. Masyarakat perlu meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan sebarang tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.

3. Respon dalam bentuk kesenian dan sebaran media perlu dilakukan kerana filem-filem dan rancangan televisyen boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjelaskan sifat dan imej sebenar Islam.

4. Umat Islam juga perlu memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.

5. Umat Islam sendiri perlu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana yang diajar dalam Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.

Dalam mendepani golongan yang ingin mempermainkan kesucian agama Islam, umat Islam perlulah bersikap proaktif dan menunjukkan apa yang agama Islam ajarkan. Usahlah kita hanya sekadar bersikap reaktif dan kemudian terus lena dengan kelalaian yang dihidangkan oleh pihak yang ingin merosakan umat yang menganut agama Islam yang diredhai Allah yang Maha Esa. Insaflah, andaikata kita sebelum ini sebenarnya terlena ditenggelami dengan rancangan yang merosakkan umat Islam yang kita sayangi.



Oleh,
MUHAMAD FAIRUZ MURSYID MUSTAFA
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum
Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli
Universiti Teknologi Malaysia

No comments: