Hiburan sama ada dalam bentuk bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suara tersendiri. Walau bagaimanapun, syaitan sering kali mempergunakan hiburan untuk menyesatkan manusia. Contohnya, Allah berfirman dalam surah Lokman ayat ke 6, "Dan di antara manusia (ada) yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari agama Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina." Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa "laghwa al-hadith" yang terdapat dalam ayat ini bermaksud nyanyian.
Apa yang dapat difahami dari ayat ini ialah Allah mengutuk sebarang perkataan (termasuk nyanyian) yang digunakan untuk menyesatkan manusia daripada agama-Nya.
Secara dasarnya hiburan termasuk nyanyian memang diizinkan oleh Islam melainkan jika ia membawa kepada kelalaian dan kemaksiatan. Antara hadis yang menjadi asas perbincangan berhubung perkara ini ialah sabda nabi yang bermaksud, "Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana." (Riwayat Tirmizi)
Sejarah Islam juga menceritakan bagaimana gendang digunakan untuk menaikkan semangat pejuang Islam apabila berada dalam peperangan. Daripada hadis dan sejarah ini jelaslah hiburan, seumpama nyanyian dan bunyi-bunyian, boleh diadakan dalam majlis perkahwinan. Begitu juga pada hari perayaan dan kebesaran Islam serta dalam peperangan.
Sebab Hiburan Diharamkan
Beliau kemudiannya menggariskan beberapa sebab yang menjadikan sesuatu bentuk hiburan / nyanyian itu haram. Antaranya ialah penggunaan lirik yang tidak sesuai seperti penggunaan lirik yang lucah. Kadangkala liriknya adalah baik tetapi cara seseorang artis membawa lagu itu menjadikannya haram, sebagai contoh, artis wanita yang menyampaikan persembahannya dengan cara yang menggiurkan serta mendedahkan aurat. Demikian juga jika sesuatu persembahan melalaikan manusia dari melaksanakan kewajipan agama, atau majlis itu disertai minuman haram dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, atau mempunyai unsur-unsur perjudian (pertaruhan) serta pembaziran, maka ketika itu ia dihukum sebagai haram.
Hukum Alat Muzik
Berhubung dengan penggunaan alat-alat muzik, ulama berbeza pendapat tentangnya, ada yang menghukumkan sebagai harus dan ada yang mengharamkannya. Antara ulama yang mengharuskannya ialah Imam al-Ghazali (dalam Ihya Ulumuddin bab as-Sima') selagi mana dasar-dasar syariat tidak dilanggar, seperti yang dinyatakan sebelum ini.
Ulama yang mengharamkan penggunaan alat-alat muzik menggunakan beberapa dalil dan antara dalil yang popular digunakan ialah sabda nabi yang terdapat dalam Sahih Bukhari yang bermaksud, "Akan terdapat dari kalangan umatku yang memandang halal perbuatan seks bebas, pemakaian sutera (oleh lelaki) dan penggunaan alat-alat muzik".
Ramai ulama melemahkan hadis ini disebabkan salah seorang perawinya, iaitu, Hisham Ibn 'Ammar, dianggap lemah oleh ulama hadis. Hadis ini juga mempunyai kelemahan di sudut salur galur sanadnya. Sanadnya dianggap bersimpang siur (muttharib) dan terputus (mu'allaq). Antara pengkritik hadis yg berpendapat demikian ialah Imam Ahmad, Abu Daud, Ibn Hazm, Abu Hatim, al-Hafiz az-Zahabi dan al-Hafiz Ibn Hajar Asqalani.
Walau bagaimanapun, jika hadis ini diterima, ia boleh membawa maksud bahawa yang diharamkan ialah penggunaan alat-alat muzik secara yang melampaui batas sehingga melanggar batas-batas syariat. Hal ini dinyatakan oleh al-Qadi Abu Bakr Ibn al-'Arabi. Malah dalam kitab al-Ahkam beliau berkata, "Tidak terdapat sebarang hadis yang sahih yang mengharamkan nyanyian secara jelas".
Berhubung tentang perkara yang sama, Imam Shawkani dalam kitab Nailul Authar berkata, "Golongan Madinah dan mereka yang bersetuju dengan mereka ini dari kalangan Zahiriyah dan Sufi mengharuskan nyanyian walaupun dengan menggunakan alat-alat muzik seperti kecapi dan serunai. Abu Mansur al-Bughdadi asy-Syafie meriwayatkan bahawa Abdullah ibn Jaafar tidak mengharamkan nyanyian malah beliau pernah mengarang lagu-lagu untuk dinyanyikan oleh hamba-hambanya. Hal ini berlaku di era khalifah Ali bin Abi Talib..."
Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria)
No comments:
Post a Comment