Friday, March 21, 2008

Dua Angka Penting Bagi Kencing Manis

Harian Metro, 5 Ogos, 2007: KEDAI serbaneka 24 jam, iaitu 7-Eleven, sebenarnya boleh dijadikan peringatan kepada semua orang terhadap penjagaan paras gula dalam darah supaya tidak melebihi dua angka ini pada setiap masa.

Paras gula yang sihat ialah tidak melebihi tujuh mmol/liter ketika berpuasa atau bangun pagi dan mesti kurang daripada 11 mmol/liter selepas makan. Jika tahap gula kita pada waktu pagi dan selepas makan melebihi kedua-dua paras itu, bermakna kita menghidap kencing manis.

Mungkin ada yang jemu dengan isu ini kerana diulang beratus kali dalam semua media, tetapi penekanan perlu diberi kerana jumlah pesakit kencing manis meningkat setiap tahun sehingga ia dikatakan boleh menjadi wabak epidemik di seluruh dunia.

Pada 2000, jumlah pesakit kencing manis di seluruh dunia dianggarkan seramai 151 juta orang dan dijangka meningkat 50 peratus kepada 220 juta pada 2010 dan mencapai 300 juta pada 2025 jika amalan gaya hidup penduduk dunia yang tidak menjaga pemakanan dan kurang bersenam tetap diteruskan.

Di Malaysia, 8.2 peratus rakyat negara ini mendapat kencing manis pada 1996 dan meningkat kepada 11.55 peratus pada 2006.

Ini bermakna tahun lalu saja lebih kurang tiga juta rakyat negara kita menjadi pesakit kencing manis dan ia bukan angka yang membanggakan.

Kencing manis bukan penyakit baru yang disebabkan mutasi atau perubahan genetik, tetapi berpunca daripada masalah kegemukan melampau (obesiti), terutama bagi individu yang mengalami kegemukan di perut, kata Perunding Diabetes Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Rokiah Pendek.

“Lemak yang tersimpan di perut menjadi sangat aktif menghasilkan pelbagai jenis hormon sitokinin yang merangsang pembentukan plak dalam salur darah. Perkara ini mempercepatkan proses penuaan salur darah, walaupun umur pesakit masih muda.

“Ini sebabnya secara biologi, individu yang obes lebih tua berbanding orang yang tidak mengalami masalah berat badan. Obesiti akan ‘memanggil kawannya’ datang yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Antara ‘kawan’ obesiti ialah penyakit jantung, hati dan penyakit pundi kencing, kanser, osteoartritis, strok, gout serta berlaku perubahan tidak normal pada sistem reproduksi. Kebanyakan ahli sukan sumo yang tidak lagi aktif atau bersara menghidap kencing manis kerana terlalu gemuk,” katanya.

diabetes-diseasesKajian yang dijalankan penyelidik tempatan pada 2001 menunjukkan, 49 peratus pesakit kencing manis turut ada masalah tekanan darah tinggi, 37 peratus (tekanan darah tinggi dan berlebihan berat badan) manakala 28 peratus lagi mengalami masalah tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan dan paras kolesterol tinggi.

Malah, kencing manis jenis 2 (diabetes mellitus) yang biasanya berlaku pada orang dewasa kini mula menyerang kanak-kanak obes. Pertukaran warna kulit (kulit tampak kotor seperti berdaki pada belakang leher dan ketiak) pada kanak-kanak obes atau dipanggil achantosis nigricans menandakan badan individu berkenaan tidak dapat menggunakan insulin iaitu tanda awal kepada kencing manis.

Kajian yang dijalankan PPUM mendapati, 45.5 peratus kanak-kanak obes yang dirujukkan ke pusat perubatan itu kerana penyakit lain mempunyai tanda achantosis nigricans.

Walaupun kencing manis menunjukkan tanda, ia biasanya tidak disedari kerana gejala dialami pesakit terlalu umum seperti selalu dahaga dan cepat berasa letih. Gejala ini juga boleh disebabkan cuaca negara kita yang panas sepanjang tahun.

“Masalah ini menyebabkan ramai pesakit kencing manis lewat dikesan. Biasanya pengesanan dan pengesahan dilakukan selepas 10 tahun pesakit menghidap kencing manis dan ini sebabnya mereka perlu diberi rawatan secara agresif bagi mengawal paras gula dalam darah,” katanya ketika bengkel kencing manis.

Ini kerana paras gula yang tidak terkawal mendatangkan kesan negatif kepada salur darah (besar dan halus) serta saraf yang menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Komplikasi kencing manis boleh dibahagi kepada dua iaitu:

a. Komplikasi mikrovaskular (membabitkan kerosakan salur kecil). Ia akan menyebabkan:

*
* Kerosakan mata dipanggil retinopati diabetes yang mengakibatkan pesakit hilang penglihatan. Ini masalah paling biasa di kalangan pesakit kencing manis.
Kegagalan buah pinggang.
*
Kerosakan saraf kaki dan meningkatkan risiko kaki dipotong. Apabila saraf rosak, deria rasa pada kaki menjadi kurang sensitif terhadap haba, kesakitan atau luka. Pesakit kencing manis berisiko 25 kali dipotong kaki akibat masalah ini.

b. Komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) yang lebih mudah berlaku pada kadar empat kali lebih tinggi berbanding komplikasi mikrovaskular. Kencing manis boleh meningkatkan risiko:
*
Penyakit jantung.
*
Strok.
*
Penyakit vaskular perif.
*
Penyakit vaskular periferal (PVD iaitu salur darah besar pada kaki). Ia mengakibatkan aliran darah ke kaki berkurangan dan melambatkan penyembuhan luka. Sel kaki yang tidak menerima bekalan oksigen (dari darah) akan mati dan membentuk gangren.
Lebih membimbangkan ialah kehadiran penyakit jantung yang biasanya datang dalam satu pakej bersama kawan karibnya iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi, kata Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin.

Di kalangan pesakit kencing manis, 55 peratus kes kematian disebabkan komplikasi kardiovaskular (jantung), paras gula yang tidak terkawal (13 peratus), kanser (13 peratus) dan penyakit lain (19 peratus).

“Lebih lama seseorang itu menghidap kencing manis, lebih tinggi risikonya mendapat komplikasi penyakit. Kajian menunjukkan pesakit yang menghidap kencing manis selama 10 tahun mempunyai risiko empat kali ganda mengalami masalah mikro dan makrovaskular.

“Seseorang pesakit boleh mendapat satu atau dua komplikasi dalam kumpulan sama (contohnya kerosakan salur darah mata dan buah pinggang) atau gabungan antara komplikasi mikro dan makro. Pesakit boleh diserang sakit jantung dan mengalami masalah kegagalan buah pinggang. Semuanya tidak mustahil jika tidak serius menjalani rawatan,” katanya.

Menurutnya, risiko mendapat serangan jantung dalam empat tahun selepas disahkan menghidap kencing manis ialah 20 peratus dan pesakit wanita muda mempunyai kebarangkalian sama dengan lelaki untuk diserang penyakit jantung.

Justeru, pesakit disaran serius menjalani rawatan sebaik penyakit dikesan bagi mengelak semua risiko yang dibincangkan di atas.

Individu berisiko tinggi (bapa atau adik beradik menghidap kencing manis) perlu lebih berhati-hati kerana peluang mendapat penyakit sama sangat tinggi.

Selain pengambilan ubat, pesakit bertanggungjawab menjaga paras gula mereka dengan mengawal pemakanan (jika dapat, elak makanan banyak karbohidrat seperti nasi dan mi serta minuman manis) dan kerap bersenam sekurang-kurangnya 20 minit sehari.

Sehingga kini tiada ubat boleh menyembuhkan kencing manis, tetapi ia boleh dirawat.

Usah ragu dengan rawatan yang diberi di sini kerana ia setanding dengan rawatan kencing manis di Amerika Syarikat dan Eropah. Namun, paling penting ialah mematuhi jadual rawatan supaya sasaran paras gula sihat.

Diedit dan susun untuk mindasuper.com oleh Dr. Danial Zainal Abidin

No comments: