Friday, March 21, 2008

Dua Angka Penting Bagi Kencing Manis

Harian Metro, 5 Ogos, 2007: KEDAI serbaneka 24 jam, iaitu 7-Eleven, sebenarnya boleh dijadikan peringatan kepada semua orang terhadap penjagaan paras gula dalam darah supaya tidak melebihi dua angka ini pada setiap masa.

Paras gula yang sihat ialah tidak melebihi tujuh mmol/liter ketika berpuasa atau bangun pagi dan mesti kurang daripada 11 mmol/liter selepas makan. Jika tahap gula kita pada waktu pagi dan selepas makan melebihi kedua-dua paras itu, bermakna kita menghidap kencing manis.

Mungkin ada yang jemu dengan isu ini kerana diulang beratus kali dalam semua media, tetapi penekanan perlu diberi kerana jumlah pesakit kencing manis meningkat setiap tahun sehingga ia dikatakan boleh menjadi wabak epidemik di seluruh dunia.

Pada 2000, jumlah pesakit kencing manis di seluruh dunia dianggarkan seramai 151 juta orang dan dijangka meningkat 50 peratus kepada 220 juta pada 2010 dan mencapai 300 juta pada 2025 jika amalan gaya hidup penduduk dunia yang tidak menjaga pemakanan dan kurang bersenam tetap diteruskan.

Di Malaysia, 8.2 peratus rakyat negara ini mendapat kencing manis pada 1996 dan meningkat kepada 11.55 peratus pada 2006.

Ini bermakna tahun lalu saja lebih kurang tiga juta rakyat negara kita menjadi pesakit kencing manis dan ia bukan angka yang membanggakan.

Kencing manis bukan penyakit baru yang disebabkan mutasi atau perubahan genetik, tetapi berpunca daripada masalah kegemukan melampau (obesiti), terutama bagi individu yang mengalami kegemukan di perut, kata Perunding Diabetes Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Rokiah Pendek.

“Lemak yang tersimpan di perut menjadi sangat aktif menghasilkan pelbagai jenis hormon sitokinin yang merangsang pembentukan plak dalam salur darah. Perkara ini mempercepatkan proses penuaan salur darah, walaupun umur pesakit masih muda.

“Ini sebabnya secara biologi, individu yang obes lebih tua berbanding orang yang tidak mengalami masalah berat badan. Obesiti akan ‘memanggil kawannya’ datang yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Antara ‘kawan’ obesiti ialah penyakit jantung, hati dan penyakit pundi kencing, kanser, osteoartritis, strok, gout serta berlaku perubahan tidak normal pada sistem reproduksi. Kebanyakan ahli sukan sumo yang tidak lagi aktif atau bersara menghidap kencing manis kerana terlalu gemuk,” katanya.

diabetes-diseasesKajian yang dijalankan penyelidik tempatan pada 2001 menunjukkan, 49 peratus pesakit kencing manis turut ada masalah tekanan darah tinggi, 37 peratus (tekanan darah tinggi dan berlebihan berat badan) manakala 28 peratus lagi mengalami masalah tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan dan paras kolesterol tinggi.

Malah, kencing manis jenis 2 (diabetes mellitus) yang biasanya berlaku pada orang dewasa kini mula menyerang kanak-kanak obes. Pertukaran warna kulit (kulit tampak kotor seperti berdaki pada belakang leher dan ketiak) pada kanak-kanak obes atau dipanggil achantosis nigricans menandakan badan individu berkenaan tidak dapat menggunakan insulin iaitu tanda awal kepada kencing manis.

Kajian yang dijalankan PPUM mendapati, 45.5 peratus kanak-kanak obes yang dirujukkan ke pusat perubatan itu kerana penyakit lain mempunyai tanda achantosis nigricans.

Walaupun kencing manis menunjukkan tanda, ia biasanya tidak disedari kerana gejala dialami pesakit terlalu umum seperti selalu dahaga dan cepat berasa letih. Gejala ini juga boleh disebabkan cuaca negara kita yang panas sepanjang tahun.

“Masalah ini menyebabkan ramai pesakit kencing manis lewat dikesan. Biasanya pengesanan dan pengesahan dilakukan selepas 10 tahun pesakit menghidap kencing manis dan ini sebabnya mereka perlu diberi rawatan secara agresif bagi mengawal paras gula dalam darah,” katanya ketika bengkel kencing manis.

Ini kerana paras gula yang tidak terkawal mendatangkan kesan negatif kepada salur darah (besar dan halus) serta saraf yang menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Komplikasi kencing manis boleh dibahagi kepada dua iaitu:

a. Komplikasi mikrovaskular (membabitkan kerosakan salur kecil). Ia akan menyebabkan:

*
* Kerosakan mata dipanggil retinopati diabetes yang mengakibatkan pesakit hilang penglihatan. Ini masalah paling biasa di kalangan pesakit kencing manis.
Kegagalan buah pinggang.
*
Kerosakan saraf kaki dan meningkatkan risiko kaki dipotong. Apabila saraf rosak, deria rasa pada kaki menjadi kurang sensitif terhadap haba, kesakitan atau luka. Pesakit kencing manis berisiko 25 kali dipotong kaki akibat masalah ini.

b. Komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) yang lebih mudah berlaku pada kadar empat kali lebih tinggi berbanding komplikasi mikrovaskular. Kencing manis boleh meningkatkan risiko:
*
Penyakit jantung.
*
Strok.
*
Penyakit vaskular perif.
*
Penyakit vaskular periferal (PVD iaitu salur darah besar pada kaki). Ia mengakibatkan aliran darah ke kaki berkurangan dan melambatkan penyembuhan luka. Sel kaki yang tidak menerima bekalan oksigen (dari darah) akan mati dan membentuk gangren.
Lebih membimbangkan ialah kehadiran penyakit jantung yang biasanya datang dalam satu pakej bersama kawan karibnya iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi, kata Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin.

Di kalangan pesakit kencing manis, 55 peratus kes kematian disebabkan komplikasi kardiovaskular (jantung), paras gula yang tidak terkawal (13 peratus), kanser (13 peratus) dan penyakit lain (19 peratus).

“Lebih lama seseorang itu menghidap kencing manis, lebih tinggi risikonya mendapat komplikasi penyakit. Kajian menunjukkan pesakit yang menghidap kencing manis selama 10 tahun mempunyai risiko empat kali ganda mengalami masalah mikro dan makrovaskular.

“Seseorang pesakit boleh mendapat satu atau dua komplikasi dalam kumpulan sama (contohnya kerosakan salur darah mata dan buah pinggang) atau gabungan antara komplikasi mikro dan makro. Pesakit boleh diserang sakit jantung dan mengalami masalah kegagalan buah pinggang. Semuanya tidak mustahil jika tidak serius menjalani rawatan,” katanya.

Menurutnya, risiko mendapat serangan jantung dalam empat tahun selepas disahkan menghidap kencing manis ialah 20 peratus dan pesakit wanita muda mempunyai kebarangkalian sama dengan lelaki untuk diserang penyakit jantung.

Justeru, pesakit disaran serius menjalani rawatan sebaik penyakit dikesan bagi mengelak semua risiko yang dibincangkan di atas.

Individu berisiko tinggi (bapa atau adik beradik menghidap kencing manis) perlu lebih berhati-hati kerana peluang mendapat penyakit sama sangat tinggi.

Selain pengambilan ubat, pesakit bertanggungjawab menjaga paras gula mereka dengan mengawal pemakanan (jika dapat, elak makanan banyak karbohidrat seperti nasi dan mi serta minuman manis) dan kerap bersenam sekurang-kurangnya 20 minit sehari.

Sehingga kini tiada ubat boleh menyembuhkan kencing manis, tetapi ia boleh dirawat.

Usah ragu dengan rawatan yang diberi di sini kerana ia setanding dengan rawatan kencing manis di Amerika Syarikat dan Eropah. Namun, paling penting ialah mematuhi jadual rawatan supaya sasaran paras gula sihat.

Diedit dan susun untuk mindasuper.com oleh Dr. Danial Zainal Abidin

Soalan : Hukum Hiburan, Nyanyian dan Alat Muzik.

Hiburan sama ada dalam bentuk bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suara tersendiri. Walau bagaimanapun, syaitan sering kali mempergunakan hiburan untuk menyesatkan manusia. Contohnya, Allah berfirman dalam surah Lokman ayat ke 6, "Dan di antara manusia (ada) yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari agama Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina." Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa "laghwa al-hadith" yang terdapat dalam ayat ini bermaksud nyanyian.

Apa yang dapat difahami dari ayat ini ialah Allah mengutuk sebarang perkataan (termasuk nyanyian) yang digunakan untuk menyesatkan manusia daripada agama-Nya.

Secara dasarnya hiburan termasuk nyanyian memang diizinkan oleh Islam melainkan jika ia membawa kepada kelalaian dan kemaksiatan. Antara hadis yang menjadi asas perbincangan berhubung perkara ini ialah sabda nabi yang bermaksud, "Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana." (Riwayat Tirmizi)

Sejarah Islam juga menceritakan bagaimana gendang digunakan untuk menaikkan semangat pejuang Islam apabila berada dalam peperangan. Daripada hadis dan sejarah ini jelaslah hiburan, seumpama nyanyian dan bunyi-bunyian, boleh diadakan dalam majlis perkahwinan. Begitu juga pada hari perayaan dan kebesaran Islam serta dalam peperangan.

Beberapa Fatwa

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat. Selain itu, ada pula yang haram. Nyanyian yang haram adalah disebabkan oleh lima perkara iaitu yang berkaitan dengan penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata atau lirik, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar itu sendiri. Pendapat ini boleh dikiaskan kepada hiburan secara umumnya.

Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Sheikh Al-Azhar (dalam al-Fatawa, Darul Syuruq, Kaherah, 1960), berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.

Fatwa yang lebih kurang sama juga dinyatakan oleh Prof. Dr. Yusuf Qardawi dalam Fatawa Mu'asirat. Beliau berkata, "Setelah kami mengkaji dan pertimbangkan kesemua pendapat, dengan penuh keyakinan kami memfatwakan bahawa nyanyian itu sendiri hukumnya adalah halal kerana berbalik kepada (kaedah syarak) yang menegaskan kesemua perkara (duniawi) pada asalnya adalah halal kecuali terdapat nas-nas yang sahih yang mengatakan ia adalah haram... Hadis-hadis yang digunakan oleh mereka yang mengharamkannya dipenuhi dengan pelbagai kelemahan".

Sebab Hiburan Diharamkan

Beliau kemudiannya menggariskan beberapa sebab yang menjadikan sesuatu bentuk hiburan / nyanyian itu haram. Antaranya ialah penggunaan lirik yang
tidak sesuai seperti penggunaan lirik yang lucah. Kadangkala liriknya adalah baik tetapi cara seseorang artis membawa lagu itu menjadikannya haram, sebagai contoh, artis wanita yang menyampaikan persembahannya dengan cara yang menggiurkan serta mendedahkan aurat. Demikian juga jika sesuatu persembahan melalaikan manusia dari melaksanakan kewajipan agama, atau majlis itu disertai minuman haram dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, atau mempunyai unsur-unsur perjudian (pertaruhan) serta pembaziran, maka ketika itu ia dihukum sebagai haram.

Hukum Alat Muzik

Berhubung dengan penggunaan alat-alat muzik, ulama berbeza pendapat tentangnya, ada yang menghukumkan sebagai harus dan ada yang mengharamkannya. Antara ulama yang mengharuskannya ialah Imam al-Ghazali (dalam Ihya Ulumuddin bab as-Sima') selagi mana dasar-dasar syariat tidak dilanggar, seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Ulama yang mengharamkan penggunaan alat-alat muzik menggunakan beberapa dalil dan antara dalil yang popular digunakan ialah sabda nabi yang terdapat dalam Sahih Bukhari yang bermaksud, "Akan terdapat dari kalangan umatku yang memandang halal perbuatan seks bebas, pemakaian sutera (oleh lelaki) dan penggunaan alat-alat muzik".

Ramai ulama melemahkan hadis ini disebabkan salah seorang perawinya, iaitu, Hisham Ibn 'Ammar, dianggap lemah oleh ulama hadis. Hadis ini juga mempunyai kelemahan di sudut salur galur sanadnya. Sanadnya dianggap bersimpang siur (muttharib) dan terputus (mu'allaq). Antara pengkritik hadis yg berpendapat demikian ialah Imam Ahmad, Abu Daud, Ibn Hazm, Abu Hatim, al-Hafiz az-Zahabi dan al-Hafiz Ibn Hajar Asqalani.

Walau bagaimanapun, jika hadis ini diterima, ia boleh membawa maksud bahawa yang diharamkan ialah penggunaan alat-alat muzik secara yang melampaui batas sehingga melanggar batas-batas syariat. Hal ini dinyatakan oleh al-Qadi Abu Bakr Ibn al-'Arabi. Malah
dalam kitab al-Ahkam beliau berkata, "Tidak terdapat sebarang hadis yang sahih yang mengharamkan nyanyian secara jelas".

Berhubung tentang perkara yang sama, Imam Shawkani dalam kitab Nailul Authar berkata, "Golongan Madinah dan mereka yang bersetuju dengan mereka ini dari kalangan Zahiriyah dan Sufi mengharuskan nyanyian walaupun dengan menggunakan alat-alat muzik seperti kecapi dan serunai. Abu Mansur al-Bughdadi asy-Syafie meriwayatkan bahawa Abdullah ibn Jaafar tidak mengharamkan nyanyian malah beliau pernah mengarang lagu-lagu untuk dinyanyikan oleh hamba-hambanya. Hal ini berlaku di era khalifah Ali bin Abi Talib..."

Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria)

Rujukan:

PORTFOLIO JAWATANKUASA RAKAN MASJID

Presiden
 Mengkoordinasi pimpinan RM dengan cemerlang
 Pengerusi Majlis Tertinggi RM
 Membina silaturahim erat dengan pentadbiran MSI, PPIPS & HEP
 Memastikan visi, misi dan objektif RM tercapai
 Pemegang amanah bilik gerakan RM
 Ahli Majlis Tertinggi

Timbalan Presiden
 Pemangku Presiden ketika ketiadaanya
 Pembantu pemantau MT
 Pemantau Biro Pendidikan dan Dakwah
 Pemantau usrah unit (muslimin)
 Membina silaturahim erat RM bersama persatuan dan kelab lain
 Ahli Majlis Tertinggi

Naib Presiden
 Pemantau usrah unit (muslimat)
 Menulis dan mendapatkan artikel untuk risalah paparan RM
 Pemantau Biro Penerangan dan Penerbitan
 Ahli Majlis Tertinggi

Setiausaha Agung
 Menentukan mesyuarat MT dan Biro-biro
 Merekod agenda yang berlaku sepanjang tempoh pimpinan
 Menyediakan takwim RM
 Penyelaras setiausaha program-program RM
 Pemegang amanah bilik gerakan RM
 Ahli Majlis Tertinggi

Timbalan Setiausaha Agung
 Membantu tugas-tugas Setiausaha Agung
 Pemegang amanah bilik gerakan RM
 Pemantau Biro Latihan dan Pembangunan
 Ahli Majlis Tertinggi

Bendahari Agung
 Merekod aliran kewangan RM dengan teliti dan sistematik
 Merangkap Bendahari untuk program-program RM
 Menjana kewangan RM
 Ahli Majlis Tertinggi

Biro Dakwah & Pendidikan
 Mengkoordinasi program-program tarbiyah untuk pimpinan RM dan ahli RM secara berkala
 Menyumbang artikel untuk risalah masjid
 Menetap piawai tarbiyah RM
 Membantu merencana produk-produk dakwah usrah unit
 Menyelaras program-program agama anjuran RM

Biro Latihan & Pembangunan
 Menyediakan Bank Modul pelbagai kategori peringkat program-program kefasilitatoran
 Melatih fasilitator-fasilitator untuk program-program yang diperlukan
 Menjana pertambahan bilangan kaderisasi ahli RM

Biro Penerangan & Penerbitan
 Menghasilkan risalah-risalah mingguan masjid
 Mengeluarkan produk-produk lapangan untuk membantu penjanaan kewangan RM
 Mengedarkan risalah ke surau-surau kolej dan tempat-tempat umum
 Menghasilkan risalah edisi bumper sebulan sekali
 Menubuhkan Bank Karya RM

Buku Panduan Rakan Masjid, Masjid Sultan Ismail UTM

Moto
Penyatuan Insan Melalui Pengimarahan Masjid
Visi
Memperkasakan Masjid Sebagai Pusat Tamadun Islam
Misi
Menjadi Kelab Dinamik dan Beriltizam Melahirkan
Generasi Bersama Masjid

Objektif
i. Merancang dan membantu pembangunan dan pengimarahan Masjid Sultan Ismail secara jangka pendek dan jangka panjang.
ii. Mengajak masyarakat Islam terutamanya yang berada dalam UTM dan sekitar untuk bersama dalam kegiatan Masjid Sultan Ismail.
iii. Meningkatkan kemampuan sumber daya manusia pengelola Masjid Sultan Ismail terutamanya mahasiswa UTM.

Orientasi Gerakan Rakan Masjid

i. Dakwah dan pendidikan
- Misi utama adalah pembudayaan slogan “amar ma’ruf nahi mungkar”

ii. Berbudaya ilmu
- Ilmu teras perkembangan syiar Islam yang membina peradaban manusia jauh daripada kejahilan

iii. Kolektif
- Bekerja dalam suasana kekentalan ukhuwwah
silaturrahim mampu meringankan semua bebanan yang dipikul

iv. Kepemimpinan
- Kebijaksanaan berhikmah sebahagian dari menefestasi pemimpin berkaliber menyelesaikan semua permasalahan yang timbul. Dalam situasi ini amalan bermusyawarah diangkat sebagai proses terbaik membuat keputusan.

v. Perencanaan
- Gerak kerja mesti direncanakan dengan tersusun, terancang dan berstrategi sebagai gambaran Islam adalah agama yang syumul.

vi. Penyelidikan
- Muhasabah atas perkara-perkara yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk membuahkan pembaharuan yang lebih sempurna.





Kod Etika Budaya Rakan Masjid

i. SAYA melaksanakan semua perkara ikhlas diniatkan mengharap redha daripada Allah SWT.

ii. SAYA bertanggunjawab secara serius menjadi ma’mum solat fardhu dan program pengimarahan Masjid Sultan Ismail.

iii. SAYA menghargai dan mementingkan masa, maka pembaziran dan kelewatan dalam sesuatu tindakan mesti dielakkan sama sekali.

iv. SAYA mempunyai peribadi yang sopan santun, wasatiah, tegas melaksanakan kerja, berkaliber, berpandangan jauh dan strategik.

v. SAYA berusaha menghayati kesemua orientasi gerakan,misi, visi dan objektif Kelab Rakan Masjid.

vi. SAYA memperbanyakkan bahan bacaan ilmiah untuk meningkatkan nilai ilmu dalam diri seterusnya dijelmakan melalui perbuatan.

vii. SAYA sedaya upaya mengelakkan perkara-perkara makruh dan haram serta berazam bersungguh-sungguh melaksanakan amalan-amalan wajib dan sunat.

viii. SAYA akan memastikan semua bentuk perancangan dilaksanakan dengan tersusun, kemas, tertib dan bersungguh-sungguh untuk mencapai yang terbaik di sisi Allah SWT.

ix. SAYA akan ringan tulang membantu semua perkara dengan kerjasama telus tanpa wujud kepentingan peribadi dan unsur keterpaksaan.

Thursday, March 20, 2008

PERANAN DAN KEDUDUKAN MASJID DALAM MASYARAKAT UNIVERSITI

Oleh: MF Mursyid Mustafa
Mantan Pengerusi Sekretariat Rakan Masjid,
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum.

Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya juga merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan penciptaNya. Pembinaannya menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat Islam. Sebelum kita mengupas bagaimana masjid dapat memainkan peranan di dalam membentuk masyarakat Islam pada hari ini , lebih elok kita menoleh sirah menyentuh sedikit mengenai peranan masjid di zaman Rasulullah SAW terlebih dahulu.


Peranan Masjid di Zaman Rasulullah
Setelah berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah mendirikan sebuah masjid (Masjid Quba’) untuk dijadikan tempat ibadat dan pusat kegiatan Islam. Zaman kegemilangan Islam meninggalkan kita warisan dan rupa masjid yang sebenar. Selain fitrahnya masjid itu sebagai rumah Allah dan ibadat solat berjemaah dijalankan didalamnya, masjid ketika zaman Rasulullah SAW adalah bertindak sebagai pusat penyebaran ilmu, ekonomi, pusat pentadbiran negara, kompleks riadah dan baitul mal. Perkara utama yang menjadikan masjid ketika itu ‘hidup’ adalah apabila seluruh aktiviti manusia berpusat di masjid serta digerakkan oleh rata-rata orang muda. Memang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW bahawa kepentingan masjid amatlah bertepatan sebagai langkah awal selepas hijrah dalam membangunkan agama Islam.

Peranan Masjid Masa Kini
Apabila kita menyebut perkataan masjid, maka secara spontan di fikiran terbayang tempat umat Islam bersembahyang jemaah dan sembahnyang Jumaat, diadakan kelas-kelas fardhu ain, ceramah dan syarahan agama terutama sempena menyambut hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Hijrah dan sebagainya.

Sebenarnya kejayaan sesebuah masjid bergantung kepada sejauh manakah peranan dan fungsi yang telah dimainkan olehnya lebih-lebih lagi jika masjid dapat menarik masyarakat Islam disekelilingnya untuk memaksimumkan fungsi masjid.

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masjid untuk melahirkan masyarakat universiti cemerlang adalah:

1. Menyusun struktur kerja masjid
Jawatankuasa dan organisasi pengurusan masjid yang dinamik dan berkaliber akan dapat merancang dan mentadbirkan masjid dengan baik. Masjid Sultan Ismail adalah wajar diberi pujian dalam pengurusan masjid secara cekap. Gabungan ilmuawan, pensyarah dan dokongan daripada pihak pengurusan universiti serta penglibatan generasi muda seperti Sekretariat Rakan Masjid dan Sekretariat Saudara Kita sewajarnya menjadi contoh.

2. Imam yang ideal
Imam masjid mempunyai kedudukan, peranan dan fungsi yang sangat penting, bukan sahaja berupaya memakmurkan masjid itu sendiri, bahkan mampu dalam bersama-sama menarik minat warga universiti dalam mengimarahkan masjid. Hubungan kemesraan harus dijalinkan agar jemaah yang datang ke masjid turut rasa dihargai dan di sinilah akan bermulannya penyatuan hati antara umat Islam.

3. Menghidupkan Semangat Musyawarah
Rasa kebersamaan dalam mengimarahkan masjid akan dapat dicapai sekiranya masjid dirasai milik bersama. Amalan musyawarah dan perbincangan bersama serta perkongsian idea bersama warga universiti khususnya mahasiswa harus dijadikan amalan. Masjid bukanlah bersifat sendirian berhad dan hanya golongan tertentu sahaja berhak dalam mengimarahkan masjid. Ia milik dan tanggungjawab bersama.

4. Institusi keislaman, pelajaran, kemasyarakatan dan kebajikan
Masjid harus dijadikan pusat rujukan dalam

masalah-masalah kehidupan masyarakat. Masjid juga adalah institusi untuk kecemerlangan masyarakat Islam. Budaya ilmu perlu diperluaskan dengan mengadakan kelas-kelas keagamaan dan juga kelas-kelas ilmiah sebagai contoh pengajaran tusyen untuk anak-anak staf di universiti dan tenaga pengajarnya adalah mahasiswa/wi yang berminat.

Institusi Masjid dalam Membentuk Masyarakat Universiti yang Cemerlang

Kegiatan dan aktiviti masjid mencerminkan hubungan antara manusia dengan Allah SWT dan hubungan antara manusia dengan manusia. Dapat dikatakan penampilan masjid merupakan satu kayu ukur yang dapat menggambarkan imej masyarakat di sekeliling. Firman Allah yang bermaksud:

“Yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, serta tetap mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapapun selain Allah maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (At-Taubah: 18)

Rasulullah SAW secara jelas menerangkan kepentingan masjid sebagai pembina kecemerlangan masyarakat Islam,

” Daripada Abu Hurairah, sabdanya, Sesiapa yang memasuki masjid kami ini untuk mempelajari sesuatu yang baik dan mengajarkannya, beliau adalah sama seperti seorang mujahid pada jalan Allah. Sesiapa yang memasuki masjid dengan tujuan lain, beliau seolah-olah mencari sesuatu yang tidak dimilikinya”(punca:Ahmad Ibn Hanbal, Musnad, II, h 350)

Kecemerlangan muslim bukanlah cemerlang hanya di dunia bahkan kita mengharapkan kecemerlangan di akhirat kelak. Masjid amat menyedari dan rasa tanggungjawab dalam melahirkan generasi yang cemerlang kedua-duanya. Kelas-kelas ilmuwan yang disediakan secara percuma wajar dimanfaatkan sebaik mungkin. Penyediaan bantuan zakat dalam membantu masyarakat sekeliling wajar disyukuri dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Perpustakaan, seminar dan ceramah dalam pelbagai skop kehidupan adalah semata-mata bertujuan melahirkan masyarakat Muslim yang cemerlang. Aspek membudayakan ilmu telah diaplikasikan dengan mengadakan kelas kuliyah pelajaran di masjid. Semua ini telah membuktikan bahawa institusi yang diasaskan oleh Rasullullah SAW memberi kesan dan manfaat yang tiada nilainya.

Imarahkan Masjid Kita

Kita amat beruntung kedudukan yang strategik Masjid Sultan Ismail di tengah-tengah pusat keilmuwan di dalam universiti. Masjid Sultan Ismail juga telah menerapkan pola pentadbiran moden yang tidak semua semua masjid mempunyainya. Tidak terlalu sukar dalam merancang aktiviti dan program pengimarahan masjid, namun terserah kepada masyarakat sekitaran dalam memakmurkan dan memberi dokongan setiap program kebaikan yang dijalanka. Semanngat generasi muda bersama masjid sudah mula tumbuh dengan pesat dan semangat baru dalam melaksanakan pelbagai kegiatan. Organisasi seperti Sekrateriat Rakan Masjid patut mendapat sokongan daripada pentadbir masjid dan dokongan daripada generasi muda sekeliling. Golongan muda dan ‘berpengalaman’ perlu berganding bahu menjalinkan komunikasi agar masjid yang kita sayangi ini terus segar dan dekat di hati masyarakat.

Oleh yang demikian, maka jelaslah kepada kita masjid mempunyai fungsi yang besar dalam intitusi masyarakat Islam dalam membangunkan kecemerlangan dalam melahirkan insan yang berjaya dunia dan akhirat.

Justeru adalah menjadi harapan semua pihak, agar setiap daripada kita mempunyai rasa tanggungjawab dan menanam sifat masjid dekat dihati akan diaplikasikan. Imarahkanlah dan hidupkanlah masjid kita.