Thursday, January 8, 2009

Palestin mangsa perpecahan Arab

Oleh Saodah Abd. Rahman

Pembunuhan dan serangan Zionis terhadap masyarakat Palestin merupakan satu ujian yang paling bermakna kepada Isreal untuk melihat sejauh manakah kekuatan masyarakat Islam di negara-negara Arab mempertahankan maruah dan kewibawaan negara.

Para pemimpin Zionis di Israel begitu angkuh menunjukkan kekuatan mereka dengan membunuh dan memusnahkan masjid dan kawasan kediaman awam dan lain-lain dengan menggunakan senjata yang canggih dan begitu tersusun strategi untuk menakluk dan menakutkan masyarakat Islam di negara Arab.

Peristiwa pembunuhan masyarakat Palestin oleh kumpulan Zionis berterusan sejak penubuhan Israel pada 1948. Paling menghairankan para pemimpin negara Arab yang merupakan saudara sesama bangsa dan agama tidak pernah menyedari bahawa penaklukan terhadap Gaza dan bumi Palestin merupakan satu lambang kekuatan kepada Israel. Penaklukan ini merupakan satu ancaman yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial di seluruh negara Arab.

Fenomena yang wujud dalam negara-negara Arab masa kini memberi peluang yang paling baik untuk Zionis menunjukkan taring mereka yang tajam dan kejam. Masyarakat Arab bermusuhan sesama sendiri. Pihak militan begitu sibuk dengan strategi mengebom tempat awam dengan meletupkan diri sebagai satu cara untuk mengusir tentera asing dari negara mereka.

Strategi begitu tidak mungkin dapat menyelesaikan permasalahan dalam negara, malah ia boleh menjatuhkan kewibawaan umat Islam sebagai pejuang yang handal untuk mempertahankan maruah agama dan bangsa.

Kewiraan dan kehebatan umat Islam dalam mempertahankan agama dan bangsa perlu dilihat dalam perspektif perjuangan Islam yang diredai oleh Allah SWT. Jika tindakan dan strategi yang dilakukan untuk menghalau penjajah dilakukan secara emosi tanpa menggunakan akal yang rasional dan berdasarkan kepada hukum-hakam Allah maka setiap perjuangan yang dilakukan walaupun berjuta orang berkorban secara membunuh diri maka perjuangan demikian akan menghadapi kegagalan kerana tindakan demikian tidak direstui oleh Allah.

Strategi dalam perjuangan mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara yang wujud dalam negara-negara Arab masa kini sukar untuk mencapai kejayaan. Ini kerana wujud pelbagai kumpulan yang memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Terdapat para pejuang yang begitu gigih mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara tetapi mereka terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalaman sehingga usaha mereka untuk membentuk sebuah negara Palestin dan Arab yang bermaruah terbantut.

Sikap mementingkan diri dan kedudukan kuasa di antara para pemimpin negara Arab masa kini terlalu jelas dan amat ketara. Jika negara mereka boleh dijadikan sebagai tapak untuk tentera asing menyerang negara sesama bangsa dan agama mereka maka ini memberi satu gambaran bahawa masyarakat Arab yang beragama Islam sudah luput konsep persaudaraan yang dipupuk oleh Rasulullah SAW dalam pemikiran dan sanubari mereka.

Jika pemikiran dan jiwa para pemimpin negara-negara Arab sudah dikuasai oleh kerakusan kuas, kedudukan dan kekayaan maka tidak mungkin masyarakat Palestin akan terbela jika setiap individu di negara itu dibunuh secara kejam oleh Zionis.

Setiap persidangan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak dapat memberi sebarang kesan kerana kebanyakan individu yang menganggotai persidangan tersebut terdiri daripada orang yang kurang peka terhadap nyawa dan maruah agama dan bangsa.

Peristiwa para pemimpin Arab menggunakan kuasa asing untuk mempertahankan kedudukan dan kuasa mereka sehingga sanggup membunuh rakyat secara kejam merupakan satu fenomena yang wujud dalam negara Arab sejak negara-negara Arab mendapat kemerdekaan daripada penjajah Barat. Malah terdapat para pemimpin mereka bertindak terhadap rakyat seperti mana tentera Zionis membunuh rakyat Palestin.

Rakyat dan masyarakat Arab cukup memahami fenomena yang wujud dalam negara mereka. Bagi golongan cendekiawan dan sarjana Arab, dunia Barat dijadikan sebagai tempat untuk mereka bernaung dan menghasilkan penulisan secara kritikal dan memperkembangkan karier mereka dalam pelbagai bidang profesional.

Apabila berlaku penghijrahan golongan bijak pandai atau brain drain ke negara luar maka negara-negara Arab menghadapi ketandusan golongan profesional. Masyarakat yang bermastautin di negara-negara Arab terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan kekurangan dalam kehidupan kerana para pemimpin negara Arab sibuk dengan strategi menentang dan menghapuskan rakyat yang menentang ideologi kepimpinan mereka.

Kuasa Barat dijadikan sebagai pelindung keselamatan peribadi para pemimpin Arab. Pemikiran dan jiwa mereka kurang ditumpukan kepada pembangunan dan projek ekonomi yang boleh meredakan dan melembutkan jiwa rakyat. Rakyat yang miskin dan lapar akan tidur nyenyak apabila perut mereka diisi dengan makanan dan minuman.

Kegiatan begini kurang dijadikan sebagai agenda utama dalam sistem pemerintahan mereka. Jika askar Zionis membunuh secara rakus beratus rakyat Palestin maka seluruh dunia Islam bangun menunjukkan penentangan kerana kekejaman demikian tersiar dalam media antarabangsa.

Berdasarkan kepada fenomena begini apakah yang boleh diharapkan dalam persidangan OIC? Jika mereka menunjukkan sikap terlalu prihatin dalam persidangan OIC, ini mungkin disebabkan oleh ketakutan dan kebimbangan negara mereka akan ditakluk oleh Isreal apabila Palestin menjadi jajahan Israel.

Perjuangan untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan hanya tersemat dalam jiwa rakyat kerana masih ramai masyarakat Arab yang mempunyai keimanan dan ketakwaan yang tinggi dan sanggup berjuang mempertahankan tanah air mereka.

Jika rakyat mempunyai jiwa yang kental mereka akan bertarung sehingga ketitisan darah yang terakhir.

Jika pemimpin mempunyai jiwa yang kental dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa mereka tidak akan menjadi rakus malah mereka sanggup kehilangan kuasa dan kedudukan.

Pemimpin begini tidak wujud dalam dunia Islam masa kini. Oleh itu Zionis dan kuncu-kuncunya tidak mempunyai sebarang perasaan hormat atau segan kepada para pemimpin dunia Islam masa kini.

Para pemimpin Islam berada dalam ambang ketandusan jiwa agama dan kerohanian. Demi kedudukan, kuasa dan kekayaan mereka sanggup melihat mayat masyarakat Islam bergelimpangan akibat dentuman bom dan senjata canggih kuasa asing bermaharaja lela dalam negara Islam.

Berapa lamakah penderitaan masyarakat Islam terutamanya di Palestin akan berakhir? Peristiwa begini tidak akan berkahir selama mana para pemimpin Islam tidak disematkan dengan jiwa yang berunsurkan ketakwaan dan kasih sayang sesama umat Islam.

Negara Islam masih dibendung oleh semangat nasionalisme yang terlalu tinggi dan dikekang oleh batasan sempadan walaupun setiap hari saudara mereka semakin ramai tersungkur akibat bedilan tentera Zionis.

Peristiwa begini wujud disebabkan kuncu-kuncu Zionis merupakan penaung kepada kekuatan dan kekuasaan mereka. Setiap aspek keselamatan dan kekuatan mereka dirancang oleh kuncu-kuncu Zionis.

Jika Israel merupakan sebuah negara yang mendapat perlindungan kuasa Barat maka para pemimpin Arab juga merupakan orang yang sentiasa menagih belas kasihan dari Barat untuk mempertahankan kuasa dan kedudukan mereka.

Berdasarkan kepada fenomena begini maka amat sukar untuk rakyat Palestin bertindak menentang Israel dengan menggunakan senjata. Perundingan dan strategi yang kukuh sahaja dapat menyelamatkan nyawa beribu rakyat Palestin.

Dalam suasana begini, masyarakat Islam seluruh dunia perlu memainkan peranan untuk membantu mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam era globalisasi masyarakat dunia sama ada Islam atau bukan Islam secara umumnya benci kepada pembunuhan.

No comments: