Oleh MOHD. HELMI ABDULLAH
PALESTIN diiktiraf oleh negara-negara di dunia sebagai sebuah negara berdaulat kecuali Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Negara Palestin telah menjalankan proses demokrasi melalui pilihan raya pada 2006 yang memberi kemenangan kepada Hamas. Kejayaan Hamas menerajui sebuah negara dinafikan Israel atas sebab-sebab teknikal. Walhal, acuan demokrasi yang dipakai adalah acuan yang diterima semua negara yang mengamalkan proses tersebut.
Atas semangat perjuangan mempertahankan negara Israel, mereka melaksanakan satu mekanisme sendiri iaitu menggunakan peralatan senjata yang canggih untuk meranapkan logistik dan kemudahan Hamas.
Tindakan unilateral yang terang dan nyata ini sentiasa mendapat sokongan manja dan mesra daripada AS.
Justeru, beberapa cadangan segera harus ditimbang dan ahli parlimen yang bersidang tidak berapa lama lagi tidak perlu merakamkan ucapan kutuk mengutuk Israel kerana perbuatan itu tidak molek, sebaliknya tindakan yang berikut difikirkan lebih cepat kesannya dan mendalam ertinya buat rakyat Palestin.
1) Memulaukan barangan dan perkhidmatan keluaran AS dan Israel.
2) Menghalau diplomat dan menutup terus kedutaan AS di Kuala Lumpur.
3) Memanggil balik diplomat Malaysia dari Amerika.
4) Menggesa supaya perjanjian FTA dan pelaburan baru dari AS digantung untuk tempoh lima tahun.
5) Melarang MAS dan AirAsia mendarat di mana-mana negeri di AS.
6) Menghentikan penjualan minyak ke AS.
7) Menghentikan penghantaran baru pelajar Malaysia ke AS.
8) Menarik pelaburan strategik ke AS.
9) Mencairkan semua aset tunai dan bukan tunai Malaysia di bank-bank di AS.
10) Menggunakan urus niaga mata wang Euro/Dinar Emas dalam perdagangan dua hala dengan negara lain.
11) Menggesa dan melobi agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibubarkan serta-merta dan membentuk satu pertubuhan baharu eg; Persekutuan Negara-negara Dunia (World Country Federation) yang tidak memerlukan penyertaan AS dan Israel.
12) Melakukan inovasi terhadap syarikat francais milik AS dan memalaysiakan produk tersebut.
Malaysia tidak perlu takut berkaitan krisis ekonomi kerana selagi lima bilion penduduk dunia hidup maka kita masih boleh berniaga dan berurus niaga dengan pihak yang akhirnya tidak akan menzalimi kita.
Populasi umat Islam dan masyarakat di Asia jika dapat ditembusi sepenuhnya masih boleh memberikan kekayaan kepada Malaysia.
No comments:
Post a Comment