Showing posts with label Palestin. Show all posts
Showing posts with label Palestin. Show all posts

Sunday, January 11, 2009

Palestin mangsa Asia Barat

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

KEGANASAN berterusan Israel di sebalik suara kutukan demi kutukan kebanyakan masyarakat dunia membayangkan betapa kaum Yahudi itu tidak pernah mengambil peduli desakan antarabangsa.

Resolusi demi resolusi yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa sejak 60 tahun krisis Asia Barat itu juga tidak ubah seperti hamparan kaki buat Israel serta penajanya Amerika Syarikat (AS).

Lalu pembunuhan secara terang-terangan Israel ke atas penduduk Palestin bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Palestin akan terus bermandi darah dan Israel akan terus mempunyai alasan untuk mewajarkannya meskipun buat 1,000 tahun lagi.

Namun apa yang cukup dikesalkan ialah pendirian negara-negara Islam terutamanya di rantau Arab yang seolah dirantai meskipun gegaran bom dan tangisan serta rintihan dari bumi Palestin dapat didengari oleh telinga mereka sendiri.

Mengapa negara-negara yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir dan Jordan terutamanya, serta negara-negara Islam lain di benua Arab begitu tega melihat nasib rakyat Palestin yang sebangsa dan seagama dengan mereka diratah oleh tangan-tangan jahat rejim Zionis?

Ramai yang melihat sikap berdiam diri negara-negara Arab itu kerana mahu melindungi kepentingan dan survival ekonomi serta kuasa masing-masing.

Apatah lagi negara-negara bersempadan dengan Palestin seperti Mesir, Jordan dan Turki mempunyai hubungan diplomatik yang rapat dengan Israel serta sudah semestinya Amerika Syarikat.

Namun sesuatu yang lebih nyata, seperti yang disorot oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, sikap yang mendasari tindakan negara-negara Arab itu merupakan satu percaturan politik di Asia Barat.

Negara-negara Arab melihat apa yang berlaku di Palestin daripada kaca mata keseimbangan kuasa mereka tidak hanya di Palestin sendiri, sebaliknya lebih jauh lagi di seluruh Asia Barat.

Hakikatnya negara-negara Arab enggan berdiri di belakang perjuangan Hamas kerana bimbang kebangkitan dasar perjuangan Hamas bakal menjatuhkan rejim-rejim Arab yang korup.

Jika sejarah penubuhan Hamas diperhalusi, bibit-bibit penubuhannya tercetus menerusi pergerakan Ikhwan Muslimin yang bermula di Mesir selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah pada 1922.

Pergerakan Ikhwan Muslimin itu menjadi ancaman yang menggugat kedudukan pemimpin politik sekular Mesir.

Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sejak 60 tahun lalu, pemimpin gerakan itu berhadapan dengan pelbagai ancaman seperti pembunuhan dan penyeksaan di Mesir.

Sentimen pergerakan Ikhwan Muslimin mula bertiup di kalangan rakyat Palestin apabila Israel menduduki negara itu secara tidak sah pada 1948.

Daripada pergerakan yang sederhana, pendokong Ikhwan Muslimin di Palestin berkembang dengan pantas termasuk sehingga mampu membina kemudahan awam seperti sekolah, hospital termasuk universiti di Palestin.

Bagaimanapun kebangkitan sebenar Ikhwan Muslimin di Palestin dapat disaksikan ketika tercetusnya intifada yang pertama pada 1987, apabila pergerakan ini muncul sebagai sebuah gerakan massa dengan nama Hamas.

Memandangkan ketika itu sikap dan tindak tanduk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Fatah dilihat lebih tunduk kepada Israel dan AS, maka kebanyakan rakyat Palestin menggantung harapan kepada Hamas untuk meneruskan perjuangan nasional Palestin dan mempertahankan hak umat Islam di Baitulmaqdis.

Kebangkitan Hamas itu tambah Hafidzi, tidak hanya merupakan ancaman kepada Israel, sebaliknya juga menjadi ketakutan kepada rejim dan kuasa Arab.

Apatah lagi negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi, Syria dan negara Teluk lain mempunyai sejarah yang panjang dengan pergerakan Ikhwan Muslimin yang menjadi teras kepada Hamas.

Sokongan padu terhadap Hamas pastinya menggugat keseimbangan kuasa politik di Asia Barat sehingga berkemampuan meniup kebangkitan di kalangan penduduknya untuk menentang rejim-rejim Arab yang korup.

''Kerana itu tidak ada satu pun negara Arab yang mengadakan sistem pilihan raya demokrasi kerana mereka amat yakin sekiranya sistem demokrasi itu itu dilaksanakan, maka rejim-rejim Arab yang korup ini sudah lama ditolak oleh rakyat dan digantikan dengan pemimpin yang lebih berjiwa rakyat dan berjiwa Islam," jelas Hafidzi.

Kebangkitan

Ironinya ketika negara-negara Arab masih mengekalkan sistem monarki mutlak dalam meneruskan kekuasaan iaitu menerusi pewarisan kuasa, Israel merupakan satu-satunya negara di Asia Barat yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Justeru, apabila Palestin mengadakan pilihan raya legislatif pada Januari 2006 yang menyaksikan Hamas dipilih sebagai parti pemerintah yang sah, kemenangan itu dinafikan tidak hanya oleh Israel tetapi juga oleh kalangan negara Arab sendiri.

Keadaan ini memperlihatkan ketakutan rejim Arab terhadap kebangkitan semangat demokrasi di kalangan rakyat Palestin yang boleh tersebar di kalangan penduduk di benua Arab yang lain.

Atas alasan itu juga jelas Hafidzi, negara-negara Arab mengambil sikap berdiam diri ke atas sekatan dan serangan terhadap Palestin kerana mahu melihat Hamas ditumbangkan dan berkubur dari landskap politik di Asia Barat keseluruhannya.

Lalu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila serangan terbaru ke atas Palestin ketika ini juga disambut dengan kritikan ke atas Hamas oleh pemimpin negara Arab kebanyakan.

Malah Fatah sendiri menerusi Presiden Mahmoud Abbas meletakkan kesengsaraan rakyat Gaza sebagai tanggungjawab yang perlu dipikul oleh Hamas.

Tindakan Fatah itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka sebelum ini sudah dilihat berdiri di belakang Israel bagi menghapuskan kumpulan Hamas di bumi Palestin.

Malah, Fatah juga sanggup melihat nasib rakyat sebangsa dan seagama terus ditindas kerana mahu rakyat Gaza menyalahkan Hamas di atas serangan Israel ketika ini.

Malangnya baik Israel, AS, Fatah mahupun negara-negara Arab, tersilap dalam menduga sokongan rakyat Palestin.

Sokongan rakyat Palestin terhadap Hamas semakin meningkat dan dipercayai akan terus subur biarpun selepas episod peperangan kali ini.

''Hakikatnya meskipun berpuluh-puluh bedilan peluru dan mortar tentera Israel menghujani Gaza dan membunuh ratusan nyawa rakyat Palestin, tidak ada tanda-tanda untuk rakyat Palestin berpaling tadah dan mengkhianati perjuangan bersama Hamas," ujar Hafidzi.

Namun jika aksi keganasan tentera Zionis ketika ini dipandang dari sudut realiti, sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah Hamas berhadapan dengan penentangan yang sangat sulit dan getir.

Apatah lagi tindak-tanduk Israel yang semakin menggila termasuk menggunakan kekuatan udara, laut dan darat membayangkan bahawa mereka sebenarnya bermaksud untuk menghapuskan Palestin secara total dalam peta dunia.

Menentang

Keadaan ini membawa kepada satu pertanyaan yang sangat besar iaitu mampukah Hamas dalam serba kekangan menentang kemaraan tentera Yahudi?

Bagi Hafidzi, kekuatan Hamas dan pejuang Islam di Palestin yang terbina sejak berpuluh-puluh tahun lalu merupakan satu rahsia yang tidak mungkin dicongak oleh Israel.

Dalam keadaan dibedil bertalu-talu sama ada dari udara dan darat, serta di sebalik keangkuhan Israel yang mendakwa mereka berjaya melumpuhkan sebahagian besar kemampuan Hamas, sekurang-kurangnya 45 bedilan roket dilancarkan ke wilayah Israel kelmarin.

Malah, buat pertama kalinya juga, roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin mensasar sehingga 60 kilometer ke dalam wilayah Israel, iaitu satu jarak yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Keadaan ini membayangkan betapa Hamas mempunyai kekuatan persenjataan yang tidak boleh dijangkakan.

Sesuatu yang pasti ujar Hafidzi, Hamas bukanlah sebuah entiti tentera sebaliknya merupakan organisasi yang mendapat sokongan seluruh masyarakat Palestin.

Justeru, kekuatan Hamas tidak wajar diukur dengan kekuatan fizikal mahupun ketenteraan dan persenjataan.

Atas pendirian yang sama juga Israel sewajarnya menghentikan serangan ke atas Palestin terutamanya di Gaza kerana tindakan itu tidak mungkin akan melemahkan sebuah organisasi massa seperti Hamas meskipun berpuluh-puluh pemimpinnya terkorban.

''Jika Israel masih berdegil dan berterusan menyerang Palestin, negara Yahudi itulah yang akan menerima bencana ketenteraan, politik dan diplomasi antarabangsa yang semakin kuat dan lantang menolak kekejaman mereka," tambah Hafidzi.

Ketika tiada tanda-tanda untuk kekejaman Zionis berakhir dalam masa terdekat, dan berpuluh-puluh lagi nyawa rakyat Palestin terus menjadi korban hari demi hari, sewajarnya rakyat Malaysia bangkit menunjukkan penentangan terhadap kejahatan Israel itu.

Aksi demonstrasi dan bantahan dalam skala mega perlu digerakkan di seluruh negara dalam menyuarakan penentangan terhadap kezaliman Israel.

Malah, suara kutukan juga perlu ditujukan kepada negara-negara Arab yang mengambil tindakan bacul dan pengecut serta terhadap AS yang menaja kejahatan Israel.

Seluruh rakyat Malaysia juga perlu berganding bahu dan bangkit menentang tindakan ganas, biadap dan kebinatangan Israel dan tidak melihat konflik itu sebagai Islam menentang Yahudi, sebaliknya pelanggaran hak asasi yang paling menjolok mata.

Malah PACE seperti yang dijelaskan oleh Hafidzi juga, berharap supaya lebih banyak dialog, seminar, ceramah dan majlis ilmu mengenai konflik sebenar di Palestin diadakan di seluruh negara bagi mematahkan propaganda dan pembohongan oleh media Barat.

Rejim Zionis ketika ini berselindung di sebalik media dengan memanipulasi hakikat dan menggambarkan mereka sebagai mangsa sedangkan merekalah penjenayah sebenar yang perlu dihapuskan.

PACE dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia juga tambah Hafidzi, menyeru rakyat Malaysia supaya terus memberi sokongan kepada pelbagai pihak yang sedang giat menjelaskan isu ini kepada masyarakat.

Malah pertubuhan itu juga bersedia memenuhi undangan untuk tujuan yang sama dan orang ramai boleh menghubungi talian 03-41089669 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Pekak, bisu dan buta

Zaman masakini merupakan zaman yang paling buruk. "Pekak, bisu, dan buta, mereka tidak akan kembali (ke jalan yang benar)" (2/al-Baqarah:18). Apa yang dicari setiap manusia ialah cahaya kebenaran dan keselamatan; apa yang dia nyalakan ialah api. Nyalaan api itu menghasilkan kejutan dan kekaguman serta memenangi pujian semua. Namun, oleh kerana api itu bersifat sementara, pujian tersebut juga bersifat sementara dan dalam masa yang sama kegelapan kembali, namun kali ini keadaannya lebih dahsyat. Unsur munafik, tipu-daya, keangkuhan, segala sifat tercela sekali lagi bermaharajalela mengalahkan kebenaran, keikhlasan, dan segala sifat terpuji. Dalam keadaan hampir putus harapan, umat manusia cuba sedaya-upaya mengeluarkan suara berbicara tanpa menyedari hakikat bahawa tiada sesiapapun mendengar atau mampu melihat; pendek kata mereka tidak peduli dan kelu.

Masyarakat dunia mengikuti dengan penuh debaran keputusan pemilihan Presiden Amerika baru-baru ini; mampukah calon Republikan bertahan dan meneruskan dasar-dasar zalim dan menindas pemerintah sebelumnya, atau adakah calon Demokrat yang bakal menang dan memperkenalkan perubahan-perubahan yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama? Pemenang yang banyak digembar-gemburkan itu meraih pujian pemimpin seluruh dunia; ibu kepada segala perubahan baik bakal menjelma menunggu gilirannya untuk menjadi tumpuan, terkinja-kinja di sebalik tabir dek riuh redam sorakan suara-suara yang gopoh membuat kesimpulan di tengah-tengah kegembiraan bahawa institusi demokrasi Barat telah sekali lagi mencapai kemenangan mengalahkan kezaliman, ketidaksamarataan dan tangan-tangan ghaib anarki dan pemberontakan. Sesetengah pemimpin dunia Arab sama-sama menghembuskan nafas lega bahkan kelihatan begitu bangga sekali meniup nafiri kemenangan calon tersebut; apa tidaknya, selama ini mereka percaya bahawa segala penderitaan yang dihadapi mereka berpunca daripada dasar-dasar pentadbiran terdahulu yang penuh dengan helah dan tipu-daya. Demikianlah keadaannya, apa yang diistilahkan oleh demokrasi sebagai adil, bermaruah, berakhlak dan benar. Janji-janji untuk mengusahakan penyelesaian sebenar dan munasabah bagi menamatkan perang di Timur Tengah telah diperkenalkan; sekali lagi disambut dengan tepukan gemuruh dari seluruh dunia. Jaminan-jaminan untuk kembali kepada meja perbincangan secara aman tatkala masyarakat Palestin dizalimi secara berterusan, juga dimahkotakan; sekali lagi dengan sorakan gemuruh dari seluruh dunia.

Kezaliman

Masyarakat Palestin sudah berdekad- dekad lamanya menderita akibat kezaliman, penindasan, penaklukan, kejahatan dan tekanan yang tidak boleh dibayangkan. Golongan yang benar-benar beriman dari kalangan umat Islam turut merasai dan menanggung kesakitan yang sama, "seumpama suatu jasad; apabila satu anggota cedera atau sakit, seluruh anggota badan yang lain juga sakit dan hilang kerehatan" (hadis Nabi Muhammad SAW). Seolah-olahnya kaki mereka dipulas hingga hampir patah, lantas mereka menjerit kesakitan yang amat sangat dengan harapan saudara mereka akan mendengar rintihan itu dan segera menamatkan penderitaan yang ditanggung serta menghukum pelakunya. Janji-janji yang dinyatakan di atas pernah dibuat sebelum ini, tetapi hanya untuk sorakan sementara para pemimpin dunia kerana janji-janji itu tidak pernah ditunaikan. Hakikatnya, walaupun jeritan rakyat Palestin telah didengari tiada siapapun yang peduli, seolah-olah semua orang telah pekak. Usahkan mengharap dibebaskan dari seksaan dan penderitaan yang dilakukan oleh penjahat yang memulas kaki mereka, para pemimpin dunia, bahkan dari kalangan saudara mereka sendiri, beranggapan bahawa jeritan masyarakat Palestin itu amat menyakitkan telinga manusia, justeru mereka patut dihukum kerana mencemar kesucian dan keaslian bunyi. Apakah lagi pilihan yang tinggal? Apakah pilihan yang ada bagi masyarakat Palestin?

Sekonyong-konyong institusi demokrasi menjengah masuk. Bukankah institusi demokrasi itulah, yang dipercayai berdiri di atas dasar keadilan, kebebasan, maruah dan kebenaran, kemudiannya menghapuskan seorang pemimpin kuku besi di sebuah negara Arab berjiran? Bukankah sudah berkali-kali dunia Arab diberitahu mengenai kelebihan-kelebihan menerima demokrasi? Bukankah gerak-kerja demokrasi telah dijelaskan kepada mereka berulangkali? Justeru, buat julung kalinya, masyarakat Palestin menyahut seruan demokrasi dan dengan penuh tanggungjawab mengadakan pilihan raya bagi memilih kerajaan yang mereka inginkan. Apa yang mereka paling dambakan ialah keadilan. Keadilan tidak sama dengan undang-undang kerana undang-undang telah mengecewakan bangsa Palestin. Seperti umat Muslimin yang lain yang sempurna akalnya, keadilan bagi mereka bererti suatu kelebihan yang mencakupi segala yang lain, yang seerti dengan kebenaran, yang betul dan baik; justeru lawannya adalah seerti dengan kezaliman, kuku besi, kepalsuan, dan keangkuhan yang menghalalkan kejahatan. Kalau kebenaran dan kebaikan diletakkan pada tempatnya yang wajar, yakni sekiranya harga diri, kekayaan, peluang, keselamatan dan perkara seumpamanya dijamin tanpa mengira bangsa, agama, kecenderungan siasah dan kedudukan dalam masyarakat, dan dibahagikan secara adil, sesungguhnya akan wujud keamanan, ketenteraman dan kebahagiaan dalam masyarakat. Selama berdekad-dekad lamanya, para pemimpin dunia secara umumnya menilai perlakuan bangsa Palestin semata-mata berdasarkan apa yang zahir, dan cenderung mentafsirkan perlakuan itu sebagaimana zahirnya, tanpa cuba memahami hakikat sebenarnya. Akibatnya, kekayaan diberikan kepada mereka yang telah sedia kaya; masa depan mereka ditentukan oleh sesebuah kerajaan yang diterajui suatu bangsa yang menganggap dirinya 'umat pilihan Tuhan' (Sha'b Allah al- Mukhtar, yakni bangsa Yahudi); pentadbiran masjid dan sekolah pula diserahkan kepada 'tentera pilihan Tuhan' (yakni tentera kerajaan Zionis). Pembahagian seumpama itu tentunya memberi manfaat kepada kerajaan yang tersebut, akan tetapi amat menindas dan merupakan suatu penyelewengan daripada keadilan; kerajaan seumpama itu sememangnya zalim kerana ia gagal mengenali tempat yang wajar bagi setiap sesuatu, dan kaitan sesuatu itu dengan penerimanya.

Demokratik

Tidak seperti si pemenang dalam pemilihan secara demokratik yang bakal dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat yang mendapat pujian para pemimpin seluruh dunia, si pemenang yang dipilih secara demokratik yang memperoleh kepercayaan bangsa Palestin, telah dikecam oleh ramai pemimpin dunia, termasuk dari kalangan pemimpin dunia Arab sendiri. Kemenangan secara demokratik pada hakikatnya ialah pengabaian demokratik. Yang nyata ialah prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, maruah dan kebenaran bukanlah dasar-dasar demokrasi; sebaliknya demokrasi adalah alat ganas, keganasan, dan para pengganas, sekurang-kurangnya itulah yang dapat kita simpulkan menurut mereka yang melihat kepada telatah zahir para pemimpin tersebut. Justeru, pada hari ini perpecahan di kalangan dunia Islami menjadi semakin parah. Terdapat golongan di Malaysia, Turki dan Iran, sebagai contoh, yang turut merasai dan berkongsi penderitaan yang ditanggung oleh saudara mereka dan berusaha sedaya upaya membantu. Malangnya suara-suara demokratik mereka ditenggelami oleh ngauman yang memekakkan yang datang dari sampah-sampah demokrasi. Sesetengah pemimpin negara Arab dan wakil- wakil masyarakat Muslim dalam Persidangan Negara-negara Islam telah dengan angkuh dan sengaja menidakkan harapan, keyakinan, dan jalan penyelesaian yang dicadangkan kepadanya oleh mereka yang benar-benar memahami dan mengenali erti keadilan tatkala kejahilan dan putus harapan berleluasa. Sebaliknya mereka memilih untuk bersikap sinis, munafik, bohong dan khianat. Akibatnya, mustahil berlaku perubahan ke arah kebaikan dalam soal nasib kaum Muslimin dan dunia Islam, sedangkan para pemimpin mereka yang dipilih secara demokratik teraba-raba dalam keadaan pekak, bisu dan buta.

Thursday, January 8, 2009

Palestin mangsa perpecahan Arab

Oleh Saodah Abd. Rahman

Pembunuhan dan serangan Zionis terhadap masyarakat Palestin merupakan satu ujian yang paling bermakna kepada Isreal untuk melihat sejauh manakah kekuatan masyarakat Islam di negara-negara Arab mempertahankan maruah dan kewibawaan negara.

Para pemimpin Zionis di Israel begitu angkuh menunjukkan kekuatan mereka dengan membunuh dan memusnahkan masjid dan kawasan kediaman awam dan lain-lain dengan menggunakan senjata yang canggih dan begitu tersusun strategi untuk menakluk dan menakutkan masyarakat Islam di negara Arab.

Peristiwa pembunuhan masyarakat Palestin oleh kumpulan Zionis berterusan sejak penubuhan Israel pada 1948. Paling menghairankan para pemimpin negara Arab yang merupakan saudara sesama bangsa dan agama tidak pernah menyedari bahawa penaklukan terhadap Gaza dan bumi Palestin merupakan satu lambang kekuatan kepada Israel. Penaklukan ini merupakan satu ancaman yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial di seluruh negara Arab.

Fenomena yang wujud dalam negara-negara Arab masa kini memberi peluang yang paling baik untuk Zionis menunjukkan taring mereka yang tajam dan kejam. Masyarakat Arab bermusuhan sesama sendiri. Pihak militan begitu sibuk dengan strategi mengebom tempat awam dengan meletupkan diri sebagai satu cara untuk mengusir tentera asing dari negara mereka.

Strategi begitu tidak mungkin dapat menyelesaikan permasalahan dalam negara, malah ia boleh menjatuhkan kewibawaan umat Islam sebagai pejuang yang handal untuk mempertahankan maruah agama dan bangsa.

Kewiraan dan kehebatan umat Islam dalam mempertahankan agama dan bangsa perlu dilihat dalam perspektif perjuangan Islam yang diredai oleh Allah SWT. Jika tindakan dan strategi yang dilakukan untuk menghalau penjajah dilakukan secara emosi tanpa menggunakan akal yang rasional dan berdasarkan kepada hukum-hakam Allah maka setiap perjuangan yang dilakukan walaupun berjuta orang berkorban secara membunuh diri maka perjuangan demikian akan menghadapi kegagalan kerana tindakan demikian tidak direstui oleh Allah.

Strategi dalam perjuangan mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara yang wujud dalam negara-negara Arab masa kini sukar untuk mencapai kejayaan. Ini kerana wujud pelbagai kumpulan yang memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Terdapat para pejuang yang begitu gigih mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara tetapi mereka terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalaman sehingga usaha mereka untuk membentuk sebuah negara Palestin dan Arab yang bermaruah terbantut.

Sikap mementingkan diri dan kedudukan kuasa di antara para pemimpin negara Arab masa kini terlalu jelas dan amat ketara. Jika negara mereka boleh dijadikan sebagai tapak untuk tentera asing menyerang negara sesama bangsa dan agama mereka maka ini memberi satu gambaran bahawa masyarakat Arab yang beragama Islam sudah luput konsep persaudaraan yang dipupuk oleh Rasulullah SAW dalam pemikiran dan sanubari mereka.

Jika pemikiran dan jiwa para pemimpin negara-negara Arab sudah dikuasai oleh kerakusan kuas, kedudukan dan kekayaan maka tidak mungkin masyarakat Palestin akan terbela jika setiap individu di negara itu dibunuh secara kejam oleh Zionis.

Setiap persidangan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak dapat memberi sebarang kesan kerana kebanyakan individu yang menganggotai persidangan tersebut terdiri daripada orang yang kurang peka terhadap nyawa dan maruah agama dan bangsa.

Peristiwa para pemimpin Arab menggunakan kuasa asing untuk mempertahankan kedudukan dan kuasa mereka sehingga sanggup membunuh rakyat secara kejam merupakan satu fenomena yang wujud dalam negara Arab sejak negara-negara Arab mendapat kemerdekaan daripada penjajah Barat. Malah terdapat para pemimpin mereka bertindak terhadap rakyat seperti mana tentera Zionis membunuh rakyat Palestin.

Rakyat dan masyarakat Arab cukup memahami fenomena yang wujud dalam negara mereka. Bagi golongan cendekiawan dan sarjana Arab, dunia Barat dijadikan sebagai tempat untuk mereka bernaung dan menghasilkan penulisan secara kritikal dan memperkembangkan karier mereka dalam pelbagai bidang profesional.

Apabila berlaku penghijrahan golongan bijak pandai atau brain drain ke negara luar maka negara-negara Arab menghadapi ketandusan golongan profesional. Masyarakat yang bermastautin di negara-negara Arab terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan kekurangan dalam kehidupan kerana para pemimpin negara Arab sibuk dengan strategi menentang dan menghapuskan rakyat yang menentang ideologi kepimpinan mereka.

Kuasa Barat dijadikan sebagai pelindung keselamatan peribadi para pemimpin Arab. Pemikiran dan jiwa mereka kurang ditumpukan kepada pembangunan dan projek ekonomi yang boleh meredakan dan melembutkan jiwa rakyat. Rakyat yang miskin dan lapar akan tidur nyenyak apabila perut mereka diisi dengan makanan dan minuman.

Kegiatan begini kurang dijadikan sebagai agenda utama dalam sistem pemerintahan mereka. Jika askar Zionis membunuh secara rakus beratus rakyat Palestin maka seluruh dunia Islam bangun menunjukkan penentangan kerana kekejaman demikian tersiar dalam media antarabangsa.

Berdasarkan kepada fenomena begini apakah yang boleh diharapkan dalam persidangan OIC? Jika mereka menunjukkan sikap terlalu prihatin dalam persidangan OIC, ini mungkin disebabkan oleh ketakutan dan kebimbangan negara mereka akan ditakluk oleh Isreal apabila Palestin menjadi jajahan Israel.

Perjuangan untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan hanya tersemat dalam jiwa rakyat kerana masih ramai masyarakat Arab yang mempunyai keimanan dan ketakwaan yang tinggi dan sanggup berjuang mempertahankan tanah air mereka.

Jika rakyat mempunyai jiwa yang kental mereka akan bertarung sehingga ketitisan darah yang terakhir.

Jika pemimpin mempunyai jiwa yang kental dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa mereka tidak akan menjadi rakus malah mereka sanggup kehilangan kuasa dan kedudukan.

Pemimpin begini tidak wujud dalam dunia Islam masa kini. Oleh itu Zionis dan kuncu-kuncunya tidak mempunyai sebarang perasaan hormat atau segan kepada para pemimpin dunia Islam masa kini.

Para pemimpin Islam berada dalam ambang ketandusan jiwa agama dan kerohanian. Demi kedudukan, kuasa dan kekayaan mereka sanggup melihat mayat masyarakat Islam bergelimpangan akibat dentuman bom dan senjata canggih kuasa asing bermaharaja lela dalam negara Islam.

Berapa lamakah penderitaan masyarakat Islam terutamanya di Palestin akan berakhir? Peristiwa begini tidak akan berkahir selama mana para pemimpin Islam tidak disematkan dengan jiwa yang berunsurkan ketakwaan dan kasih sayang sesama umat Islam.

Negara Islam masih dibendung oleh semangat nasionalisme yang terlalu tinggi dan dikekang oleh batasan sempadan walaupun setiap hari saudara mereka semakin ramai tersungkur akibat bedilan tentera Zionis.

Peristiwa begini wujud disebabkan kuncu-kuncu Zionis merupakan penaung kepada kekuatan dan kekuasaan mereka. Setiap aspek keselamatan dan kekuatan mereka dirancang oleh kuncu-kuncu Zionis.

Jika Israel merupakan sebuah negara yang mendapat perlindungan kuasa Barat maka para pemimpin Arab juga merupakan orang yang sentiasa menagih belas kasihan dari Barat untuk mempertahankan kuasa dan kedudukan mereka.

Berdasarkan kepada fenomena begini maka amat sukar untuk rakyat Palestin bertindak menentang Israel dengan menggunakan senjata. Perundingan dan strategi yang kukuh sahaja dapat menyelamatkan nyawa beribu rakyat Palestin.

Dalam suasana begini, masyarakat Islam seluruh dunia perlu memainkan peranan untuk membantu mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam era globalisasi masyarakat dunia sama ada Islam atau bukan Islam secara umumnya benci kepada pembunuhan.

Kenapa Islam dihina?

Ironinya apabila Islam dihina ramai yang melenting menyatakan kemarahan dan ketidakpuashatian mereka. Seluruh dunia mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap situasi yang sedang berlaku.

Malangnya ia bagaikan air pasang dan surut. Sensitiviti ini muncul sesekali apabila ada isu berkaitan agama yang dipersoalkan. Sedangkan apabila diteliti institusi kenabian sebagai contoh, tak pernah lekang daripada pelbagai ejekan dan tohmahan sepanjang zaman.

Dahulu Nabi Muhammad SAW pernah dikatakan tukang sihir, orang gila dan pemecah-belah masyarakat, hari ini ejekan dan tohmahan terhadap Baginda SAW masih berterusan cuma dalam bentuk yang berbeza. Ada yang melukis karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW dengan gambaran yang mengaibkan dan tidak kurang juga yang menulis blog menghina Nabi Muhammad SAW. Malahan segelintir umat Islam juga turut terlibat mencemarkan institusi kenabian dengan tanpa malu-malu mengaku sebagai nabi.

Kenapa Islam menjadi bahan ejekan dan cemuhan pihak yang tidak bertanggungjawab adalah persoalan yang mesti difikirkan bersama oleh setiap individu muslim.

Persoalan ini perlu dijawab, bukan hanya sekadar berpeluk tubuh, selesa menuding jari kepada pembuat angkara. Cerminlah diri sendiri sebelum mencemuh orang lain. Malahan tabiat buruk seperti ini perlu dikikis , jika ingin melihat umat Islam maju setanding dengan yang lain.

Adalah tidak adil jika hanya seronok menyalahkan orang tanpa menilai kelakuan sendiri. Cemuhan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui blog seperti yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini, jika ditinjau dari satu sudut berlaku kerana mereka tidak mengenal peribadi Nabi Muhammad SAW.

Dari sudut lain, ia juga berlaku kerana kelalaian dan kealpaan masyarakat Islam dalam melaksanakan ajaran Nabi Muhammad SAW yang boleh menjadi cerminan kepada keluhuran budi pekerti Baginda SAW yang mulia.

Natijahnya, sesetengah masyarakat Islam telah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini dapat diperhatikan sendiri melalui cara berpakaian, pergaulan dan muamalah seharian. Perlakuan ini membawa kepada masalah-masalah lain yang semakin bernanah dalam masyarakat seperti sumbang mahram, pesta seks, minum arak, buang bayi dan lain-lain yang seolah-olah sinonim dengan masyarakat Islam.

Sebagai contoh ada di kalangan remaja Islam yang lebih seronok mengenakan topi ala Santa Klaus ketika menyambut perayaan Hari Natal, dengan penuh bangga bergaya ke sana ke mari, tanpa disuruh bahkan sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk berseronok.

Malangnya amalan memakai kopiah atau songkok yang menunjukkan keperibadian seorang Muslim tak pernah diendahkan malah malu untuk memakainya kerana bimbang dikatakan berlagak alim dan sebagainya.

Terdapat pula segelintir individu muslim yang hanya Islam pada nama. Jika ditinjau dari sudut perbuatan dan tingkah laku sama sekali tidak menampakkan ciri-ciri seorang muslim yang dapat menggambarkan ketinggian dan kemurnian Islam sebagai The Way of Life.

Inilah antara kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW disaat hampir terjadinya hari kiamat, Islam hanya tinggal nama kerana tidak dipraktikkan manakala al-Quran hanya tinggal huruf-huruf, kerana tidak dibaca. Lebih merosakkan lagi apabila orang Islam lebih cenderung menjadikan al-Quran sebagai tangkal penghalau hantu berbanding melaksanakan ajaran al-Quran dalam segala urusan harian yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.

Akibat kealpaan dan kelalaian itu, Islam terus dihina, umat Islam pula menghidap pelbagai jenis penyakit yang sukar untuk diubati. Kesannya bukan sahaja dirasai oleh kita masyarakat Islam di Malaysia, malah telah merebak ke seluruh dunia, Islam dilabel sebagai pengganas, jumud dan menolak kemajuan.

Atas alasan itu jugalah saudara Islam kita di Palestin ketika ini berdepan dengan angkara durjana penjajah Israel yang bersifat kebinatangan. Saban hari ada sahaja yang dibunuh, tanah-tanah dirampas, mereka diserang bertubi-tubi tanpa belas kasihan melalui udara, laut dan darat.

Penjajahan Israel ke atas negara Islam Palestin bukan sejarah baru. Ia bermula apabila Israel dengan secara rasmi diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada 15 Mei 1948. Sejak daripada itu masyarakat Islam Palestin terus menjadi sasaran peluru berpandu Israel, bedilan meriam dan tembakan senjata api tanpa peri kemanusiaan.

Penyembelihan

Kini setelah 60 tahun dijajah, diperlakukan seperti binatang, saudara Islam Palestin masih menderita. Penyembelihan ke atas kanak-kanak, orang tua dan yang tak berdaya berterusan tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Seluruh dunia menyaksikan kekejaman rejim Zionis, namun ramai yang mampu melihat daripada bertindak menghentikan peperangan yang berlaku. Walaupun kutukan demi kutukan dilontarkan oleh pelbagai pihak, namun Israel tetap bersemangat waja meneruskan agenda pembunuhan beramai-ramai umat Islam Palestin.

Pertubuhan-pertubuhan Islam seperti Liga Arab yang pernah terlibat menyertai Perang Arab-Israel pada tahun 1948, seperti kehabisan idea, setelah cadangan gencatan senjata Palestin-Israel yang di bawa ke Majlis Keselamatan PBB ditolak oleh Amerika Syarikat. OIC pula yang ditubuhkan di Rabat, Maghribi pada tahun 1969 bertujuan membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel sehingga kini belum membuahkan hasil yang dicita-citakan.

Akhirnya saudara Islam Palestin terpaksa berjuang habis-habisan, bersendirian mempertahankan agama, kehormatan dan tanah air mereka sehingga ke titisan darah yang terakhir. Dengan bekalan makanan dan minuman yang terbatas mereka sanggup bermandikan darah, demi untuk syahid dan mendapat nikmat syurga seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Sampai bilakah mereka akan terus bermandi darah. Apakah tindakan yang telah dilakukan oleh kita sesama saudara Islam. Paling menyedihkan apabila terdapat sesetengah daripada kalangan masyarakat Islam yang langsung tidak ambil peduli senario yang berlaku.

Mereka sibuk dengan berbagai-bagai bentuk hiburan yang berjaya mengalihkan ingatan dan perhatian terhadap isu berdarah di Palestin.

Mungkin penyakit umat akhir zaman, cinta dunia dan takut mati yang pernah dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW, telah merebak dan melanda di serata dunia Islam. Sehingga masyarakat Islam lebih mementingkan diri sendiri, sibuk dengan urusan dunia tanpa ada masa mempedulikan sesama saudara se-Islam.

Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang pernah menyebutkan: "Perumpamaan seorang Muslim dengan Muslim yang lain dari segi kasih sayang, hormat menghormati dan saling bertimbang rasa adalah seperti satu jasad, Apabila ada satu anggota daripada jasad itu sakit maka seluruh badan akan turut menderita kesakitan".

Rasakanlah penderitaan mereka sebagai bukti kasih-sayang dan cinta sesama Islam. Laksanakanlah segala ajaran syariat demi untuk memartabatkan Islam agar tidak terus dipandang hina di mata dunia, hulurkanlah sumbangan dan bantuan bagi membantu saudara se-Islam yang ditindas dan dizalimi.

Iringilah perjuangan mereka dengan doa sambil berharap agar Allah SWT membantu mereka dengan bala tentera yang tidak kelihatan seperti di hari Peperangan Badar. Semoga Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya kepada saudara se-Islam di Palestin, atau menggantikannya dengan kenikmatan gugur syahid kerana mempertahankan ketinggian dan kehormatan Islam yang suci.

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

Sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm