Thursday, September 11, 2008

Menterjemahkan penghayatan ramadhan dalam kehidupan



MUHAMMAD IZZUDDIN SYAKIR HJ ISHAK[1]

Kedatangan Ramadhan disambut penuh kesyukuran dan keinsafan oleh semua masyarakat Islam di seluruh dunia. Umat Islam dilihat berkunjung ke masjid-masjid berdekatan untuk mengimarahkan masjid bermula dari aktiviti berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak serta Tarawih bersama-sama. Gema alunan bacaan Al Quran oleh imam ketika mengimamkan solat amat menenangkan setiap jiwa yang mendengarnya. Barangkali inilah yang dikatakan keberkatan mukjizat.

Masa berjalan begitu pantas. Kini umat Islam di Malaysia telah pun memasuki fasa kedua puasa. Sesungguhnya puasa Ramadhan merupakan wahana mencapai objektif Al- Taqwa (Rujuk Al Baqarah: 183). Ringkasnya, Taqwa ialah perkataan yang merujuk kepada erti memelihara. Sebagai contoh, ayat ittaqullah seperti yang terkandung di dalam Al Quran membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pelindung.(Rujuk Al-Quran:Ali-Imran:102).

Sebab itulah di dalam Al Quran, surah Al-Baqarah ayat kedua, Allah SWT telah menyatakan bahawa Al Quran ini menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa (al-muttaqin). Al –Muttaqin membawa maksud (secara ringkas) suatu kesedaran tentang kehadiran Allah dan pengawasanNya serta kesedaran tentang keterikatannya dengan hukum serta nilai ketuhanan.

Dalam ertikata yang lain, untuk menjadikan Al Quran sebagai panduan yang komprehensif dalam kehidupan, ia memerlukan asas ketaqwaan terhadap setiap insan. Maka dalam konteks ibadah puasa, boleh dikatakan bahawa orang yang menjalankan ibadah berpuasa ialah orang yang memiliki ciri ketaqwaan kerana ia setia memelihara puasanya walaupun hanya berkeseorangan.

Namun bagaimana dengan kewajipan asas yang lain seperti solat, zakat dan haji? Apakah kita setia menjalankannya dengan fokus dan kerendahan hati? Maka di sinilah pentingnya latihan berpuasa di bulan Ramadhan dengan harapan kita mampu mencapai darjat ketaqwaan di dalam segenap aspek ekonomi, sosial mahupun kelestarian alam sekitar.

Justeru, dalam memeriahkan Ramadhan, kita seharusnya menumpu ke arah pembinaan ketaqwaan diri, keluarga dan masyarakat. Meraikan ramadhan tidak hanya menumpu dalam lingkungan aktiviti ritual semata-mata, malahan ia perlu dihayati di segenap aspek kehidupan termasuk aktiviti ekonomi, bersosial serta penjagaan kebersihan alam sekitar.

Bagi para peniaga, inilah masanya untuk menghayati ramadhan dengan mengamalkan aktiviti urus niaga yang tidak menindas, terhindar dari unsur penipuan serta menahan diri dari mengambil kesempatan ke atas kelemahan serta kesusahan pengguna. Begitu juga dengan syarikat –syarikat gergasi multinasional, di samping berusaha mempertingkatkan mutu kerja syarikat, seharusnya juga penghayatan Ramadhan diterjemahkan melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan menjalankan tanggung jawab sosial dalam meringankan beban rakyat untuk berdepan impak inflasi yang sedang menimpa masyarakat hari ini.

Dalam konteks sosial, Islam jelas menyatakan bahawa kemajmukan kaum merupakan suatu tabi’ atau hukum alam yang telah ditentukan oleh Sang Pencipta. Allah SWT telah menjadikan manusia ini berbangsa-bangsa dan bersuku-suku sebagai bukti kekuasaanNya dalam mewarnai kehidupan insan. Apa yang penting bagi manusia ialah menggunakan acuan ini untuk saling mengenal potensi diri untuk memacu negara ke arah kemajuan peradaban kerana kemuliaan insan di sisi Allah SWT ialah tahap ketaqwaannya. (Rujuk Al Quran: Al Hujurat: 13)

Begitu juga dengan tanggung jawab kita terhadap alam, seharusnya Ramadhan merupakan titik tolak komitmen kita terhadap pembangunan lestari khususnya dalam mengurus sisa pepejal (sampah) negara. Statistik telah menunjukkan bahawa sisa makanan mencatat peratusan tertinggi dari komposisi sampah di Malaysia. Dari jumlah komposisi sisa pepejal di Malaysia, 45 peratus merupakan sisa makanan, 24 peratus plastik serta sejumlah baki komposisi yang terdiri dari sisa pepejal yang lain. Justeru, meninggalkan amalan membazir merupakan langkah pertama ke arah pembangunan lestari kerana langkah ini mampu menyumbang ke arah usaha mengurangkan jumlah penjanaan sisa pepejal yang semakin meningkat di Malaysia.

Jelaslah bahawa ciri ketaqwaan merupakan elemen terpenting dalam pembangunan peradaban. Puasa yang berjaya adalah puasa yang tidak bersifat ibadah ritual semata-mata tetapi merupakan suatu praktis yang akhirnya dihayati dan diterjemahkan di dalam sistem kehidupan insan. Semoga Ramadhan kali ini menjadi medan muhasabah diri bagi kita khususnya rakyat Malaysia untuk menganjak paradigma ke arah suatu nilai pembentukan modal insan yang berkualiti.


[1] Penulis adalah Felow Rancangan Latihan Kakitangan Akademik USM

No comments: