Assalamualaikum wbt, pertamanya marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita masih lagi dapat menghirup segarnya udara di sekeliling kita, dan masih lagi bersama dengan kita dua nikmat yang begitu besar nilainya yakni nikmat iman dan islam.
Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam, keluarga dan sahabat-sahabat baginda, moga-moga kita tergolong dalam golongan yang akan mendapat syafaat baginda di hari akhirat kelak.
Bicara pada kali ini akan difokuskan kepada persoalan iman. Apa kata kita tanya pada diri kita, “apa khabar imanku”. Baikkah dikau disana? Sedang jawapannya ada pada diri kita sendiri. Berhati-hatilah kerana iman manusia sentiasa bertambah dan berkurang. Maka jalan yang harus kita tempuh untuk menuju iman itu adalah dengan ilmu dan amal.
Kata Syeikh Bakri Rajab, ilmu yang memberikan kita pemikiran, amal pula yang mendidik hati. Pentingnya ilmu itu sehingga Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud, “nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.” Dengan ilmu manusia bisa membezakan antara baik buruknya sesuatu perkara.
Ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan isu yang agak hangat ketika ini iaitu kes penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak sehingga satu kes daripadanya menyebabkan kematian akibat disepak terajang. Berita tentang adik Syafiah Humairah Sahari sudah diketahui umum, apa dan siapa yang menyebabkan kematiannya. Kejadian tersebut sebagaimana kenyataan akhbar, berlaku di padang bola dan ramai pula orang awam yang berada di situ.
Persoalannya, bagaimana seramai-ramai manusia yang berada di situ hanya sekadar menyaksikan kejadian itu tanpa punya rasa tanggungjawab untuk menghentikan perlakuan kejam lelaki tersebut. Dimana iman kalian?
Bukankah Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam bersabda, “apabila kamu melihat kemungkaran maka hendaklah mengubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu juga (berbuat demikian) maka ubahlah dengan hati dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”. (Riwayat Tirmidzi).
Terkilan, sedih, marah! Andaikan kita berada di situ melihat sahaja dan tidak berbuat apa-apa, saat itu agaknya begitu lemah sekali iman kita atau memang iman dah tercabut dari dalam diri kita?
Manusia berubah menjadi zalim dan kejam. Bangga dengan zaman globalisasi, zaman menuju wawasan 2020 sehingga dilupakan sama sekali nilai-nilai murni yang diwar-warkan dalam media dan nilai-nilai agama yang dibawa oleh junjungan kita, Rasulullah saw yang sepatutnya dipupuk dalam diri setiap manusia.
Kepada siapakah harus dipersalahkan? Tepuk dada tanyalah iman kita. Jangan dilupa saat Allah swt berfirman, “dan sungguh, akan kami isi neraka jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi (al-A’raf ayat 179).
Bila manusia tidak menyedari akan tujuan dan erti kehidupannya maka begitulah jadinya. Na’uzubillah, moga-moga kita bukanlah golongan yang disebut Allah dalam ayat di atas. Harus diingat Allah tidak menciptakan kita dengan sia-sia akan tetapi manusia diciptakan dengan tujuan yang tertentu. Di sini tidaklah ingin dinyatakan pula apakah tujuan Allah menciptakan manusia.
Justeru, pentingnya menuntut ilmu sama ada ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, seterusnya mengamalkan pula ilmu tesebut. Jangan dibiarkan ilmu sekadar berada di dalam buku-buku tapi pastikan ilmu tersebut berada dalam dada kita. Pepatah arab ada mengatakan, ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.
Berbalik kepada iman, Sayyid Qutb dalam bukunya bertajuk, “Lailahailallah sebagai Akidah Syariah dan Sistem Kehidupan” ada menyebut, apabila seseorang manusia mengucap dua kalimah syahadah, maka dia telah memegang status keimanan. Namun status semata-mata tidak akan bermakna tanpa nilai iman itu sendiri. Ibaratkan seorang lelaki yang memegang status suami, perempuan pula memegang status isteri, akan tetapi bahtera yang dilayari porak peranda malah hampir karam dilanda badai, adakah masih bermakna status tersebut? Tidak bukan.
Akhir kalam, tulisan ini hanyalah sekadar perkongsian dan peringatan bersama. Berusahalah untuk menggilap iman kita. Suka untuk dikongsi bersama pesanan Luqmanul Hakim, kata beliau, “sesungguhnya dunia ini ibarat lautan yang luas, ramai yang telah karam di dalamnya, seandainya kau ingin selamat, layarilah lautan ini dengan bahtera yang bernama taqwa, muatannya yang sarat dengan iman dan layarnya adalah tawakkal kepadaNya”. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah swt, dan kekurangan itu datangnya daripada kelemahan diri ini sendiri. Wallahu a’lam
Oleh: Abdah Nashihah
No comments:
Post a Comment