Sunday, July 20, 2008

Dating yang betul

Dating yang betul

Bersama:MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN:Bagaimanakah cara yang betul bagi pasangan muda-mudi masa kini mengaplikasikan konsep dating untuk mengenali hati budi masing-masing mengikut cara yang berlandaskan syariat dan peraturan Islam?
JAWAPAN:
Dating dalam erti kata berdua-duaan pasangan lelaki perempuan yang bukan mahram adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada mudarat. Iaitu mendedahkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan sesuatu yang ditegah dalam agama Islam.
Mula-mula dating dalam telefon, kemudian ajak keluar makan. Mula-mula naik kenderaan berasingan. Lama kelamaan naik satu kenderaan bukan sekadar makan tetapi pegang tangan, tidur atas bahu kekasih. Sehingga kadang-kadang sampai melakukan perzinaan.
Walaupun pada mulanya rasa bersalah terhadap perbuatan yang terkutuk itu, lama kelamaan menjadi alah bisa tegal biasa. Sebab itulah Islam menegah sama sekali pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Allah s.w.t berfirman, Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32)
Peringatan dalam ayat ini ialah tegahan keras Allah supaya jangan sekali-kali cuba menghampiri zina. Kaedah fikah menjelaskan ‘Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram’. Dan mencegah adalah lebih baik dari mengubat.
Sekiranya usaha menghampirinya jelas ditegah apatah lagi sengaja terlibat. Islam mengajak penganutnya menjauhkan diri dari terdedah kepada maksiat. Menyesal dahulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.
Terjebak
Allah s.w.t menegah umatnya mendedahkan diri terjebak dalam kebinasaan. Firman Allah s.w.t, …dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…. (al-Baqarah: 195). Dalam ayat ini Allah sebut mencampakkan, maksudnya sengaja melibatkan dan mendedahkan diri dalam sesuatu perbuatan yang boleh membawa kebinasaan.
Allah s.w.t menyuruh setiap lelaki dan perempuan menundukkan pandangan. Ini kerana dengan menundukkan pandangan seseorang itu dapat memelihara kehormatannya. (al-Nur: 30-31). Ketika mentafsirkan ayat ini sebahagian ulama menyatakan bahawa; pandangan adalah panah beracun bagi hati, sebab itulah Allah s.w.t menghimpunkan dua perkara dalam ayat ini, iaitu merendahkan pandangan dan memelihara kehormatan (kemaluan). Disebut juga bahawa mata adalah punca kepada zina. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, jld:18, hlm:214 ).
Dating diharuskan bagi mereka yang sudah bertunang. Itupun dengan izin wali perempuan dan bersama mahram ahli keluarga perempuan. Bertunang adalah lesen awal untuk seorang lelaki mengenali tunangnya. Mungkin juga langkah awal untuk seorang lelaki dan seorang perempuan mengenal bakal pasangan hidupnya dengan lebih dekat lagi.
Namun Islam tidak membenarkan seorang pasangan yang bergelar tunang untuk berdating. Kalau nak dating mesti dengan memelihara hak Allah. Ulama haruskan pertemuan lelaki dan perempuan selepas pertunangan semata-mata untuk melihat sifat zahirnya, seperti melihat kepada rupanya untuk mengenal pasti kesempurnaan fizikalnya.
Namun percintaan dan dating yang halal ialah selepas diijab kabul, sementara itu pasangan kekasih hendaklah tunduk kepada perintah Allah. Adalah tidak wajar mencari kebahagiaan hidup dengan melanggar perintah Allah. Mungkin juga ada yang bertanya: kalau begini susahlah bagi pasangan kekasih mengenali antara satu sama lain.
Tidak ada pengenalan yang sempurna bagi lelaki terhadap pasangan kekasihnya melainkan selepas perkahwinan.

Rahsia mahir berbahasa Arab

Rahsia mahir berbahasa Arab

Ramai di kalangan kita pernah belajar Bahasa Arab sama ada secara rasmi ataupun tidak. Bagaimanapun kebanyakan mereka masih ada yang mengeluh menyatakan belum dapat menguasai kemahiran Bahasa Arab.
Ada juga yang bertanya, apakah rahsia untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Arab? Apakah tip mudah untuk menguasai bahasa Nabi ini? Apakah teknik mudah untuk memahami dan mendalami bahasa ini dengan mudah? Berapa lama pula masa yang diperlukan?
Sehubungan itu, penulis ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama berkongsi pengalaman bagaimana kita boleh meningkatkan kemahiran berbahasa Arab.
Secara umumnya, jika kita tahu cara dan teknik yang betul dan sesuai untuk mahir dalam bahasa al-Quran, ia adalah sangat mudah. Pendekatan teknik mudah inilah yang jarang didedahkan kepada para pelajar. Dalam hal ini, kita memiliki banyak kelebihan anugerah Allah yang kita tidak manfaatkan secara maksimum.
Dengan kata lain, kita perlu memasukkan beberapa unsur yang sering dilupakan dalam pembelajaran biasa. Antara unsur itu ialah konsep kata pinjaman, zikrullah, panggilan mesra berkomunikasi, intonasi yang sesuai, bahasa badan yang meyakinkan dan penggunaan ayat al-Quran dan hadis.
Pendekatan belajar mudah bahasa Arab ini menggabungkan beberapa elemen penting dan beberapa konsep unik yang kita abaikan sebelum ini. Antara konsep itu ialah:
* Konsep Memanfaatkan Kelebihan Memiliki Kata Pinjaman.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang telah menguasai Bahasa Melayu dikira cukup bertuah berbanding rakyat Argentina, Jepun, Brazil dan lain-lain. Bahasa yang mereka tuturkan hampir tiada persamaan dengan bahasa Arab. Ini berbeza dengan bahasa Malaysia yang kita gunakan seharian.
Dalam Kamus Dewan sahaja terdapat lebih 1,700 perkataan berasal daripada perkataan Arab. Jadi apalah salahnya, kata pinjaman yang berasal daripada bahasa Arab itu kita gunakan semula dalam membina ayat mudah dalam bahasa Arab.
Dalam peperiksaan Bahasa Arab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon dikehendaki menulis karangan sekurang-kurangnya 150 patah perkataan. Ini sudah tentunya amat mudah kerana kita ada lebih 10 kali ganda daripada itu iaitu 1,700 patah perkataan dalam bahasa ibunda kita. Cuma, persoalannya bagaimana kita menggunakan kelebihan ini.
Untuk itu, satu kaedah baru telah diperkenalkan yang diberi nama MUKADDAM. Kaedah MUKADDAM ini adalah singkatan (Membandingkan Unsur-unsur Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu).
Ia adalah satu pendekatan mudah belajar bahasa Arab terutamanya untuk rakyat Malaysia yang sudah menguasai Bahasa Melayu. Konsep yang ingin diketengahkan sebenarnya cukup mudah.
Setiap hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihurai, diguna dan dipraktikkan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang, lama-kelamaan menjadi selembar kain.
Begitu juga dalam konteks belajar bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan as-hala qamusin. Apa yang dimaksudkan dengan as-hala qamusin ialah sebuah kamus yang paling mudah difahami.
* Konsep Zikrullah
Ada satu soalan yang sering ditanya kepada kita. Kebanyakan daripada kita pun pasti akan menjawabnya dengan jawapan yang sama atau hampir sama. Soalan itu ialah Kaifa haluk? (Apa khabar saudara?) Jawapannya ialah Ana bikhair wal hamdulillah (saya baik dan alhamdulillah).
Apa yang ingin dibicarakan di sini ialah jawapan alhamdulillah iaitu menyebut nama Allah. Persoalannya kenapa soalan ini sahaja kita menjawabnya dengan menyebut nama Allah? Kenapa dalam soalan lain atau suasana yang lain kita tidak mampu menyebut nama Allah?
Sehubungan itu, kita akan mengaitkan apa saja ayat yang kita bina dengan satu zikrullah yang paling sesuai. Dalam hal ini sekiranya kita mudah mengingati Allah, Allah akan memudahkan kita untuk belajar mengingati perkataan lain.
l Konsep Panggilan Mesra
Dalam komunikasi berkesan kita digalakkan menyebut nama, gelaran atau pangkat seseorang. Dalam al-Quran, perkataan ya... (seruan yang bermakna wahai…) disebut sebanyak 361 kali.
Sehubungan itu kita boleh mulakan dengan panggilan mesra atau panggilan mesra diletakkan di awal atau di hujung percakapan.
Terdapat dua faedah utama yang boleh kita peroleh sekiranya kita menggunakan konsep ini. Faedah pertama kita dapat membanyakkan atau memanjangkan ayat yang kita bina. Faedah kedua pula dapat mengeratkan hubungan komunikasi antara kita dan orang yang kita hubungi.
* Konsep Intonasi
Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar dikehendaki membaca beberapa ayat dalam satu intonasi sahaja. Oleh itu dalam kaedah mudah ini, pelajar dikehendaki melakonkan satu perkataan dalam pelbagai intonasi.
Sebagai contohnya perkataan La yang bermakna tidak atau penafian. Seorang pelajar yang menghayati bahasa Arab mampu membuat pelbagai intonasi yang sesuai berdasarkan masa, tempat dan kedudukan walaupun hanya satu perkataan.
Perkataan La boleh dialunkan intonasinya dalam keadaan biasa, menafikan cara lembut, menafikan secara bersungguh-sungguh, menafikan cara keras, secara mengada-ngada, geram, marah, bersahaja, terkejut, kagum dan sebagainya.
* Konsep Bahasa Badan
Ini diambil dari konsep iman iaitu membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar hanya menggunakan dua pertiga sahaja. Mereka jarang menggunakan anggota badan untuk membantu pertuturan mereka.
Sehubungan itu, berteraskan modal insan, para pelajar dikehendaki menggunakan bahasa badan mereka sebagai sokongan. Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka berinteraksi dengan lebih menyakinkan dan menyenangkan mereka menghafal perkataan baru.
Dalam hal ini, kita ambil satu contoh mudah. Mr. Bean, seorang pelakon popular telah mengaplikasikan konsep iman ini dengan menjadikan bahasa badan sebagai teras dalam aksi komedinya.
Filem beliau terkenal, difahami dan diterima pakai di seluruh dunia. Kini, beliau boleh dikatakan seorang yang berjaya dalam bidang lakonan. Kenapa anda tidak mahu mencuba konsep iman ini semasa belajar Bahasa Arab?
* Konsep Pengukuhan Dengan ayat al-Quran, al-hadis dan Kata-kata hikmat
Untuk pengukuhan kita gunakan perkataan yang digunakan dalam al-Quran, hadis atau kata-kata hikmah. Sebagaimana kita maklum, bahasa al-Quran tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa.
Begitu juga dengan al-Hadis dan kata-kata hikmat dalam bahasa Arab yang boleh dijadikan sebagai panduan penting dalam mempelajari bahasa Arab ini.
Sehubungan itu, kita sepatutnya menggunakan kekuatan yang kita ada ini berbanding pelajar yang belajar bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Arab tidak dapat menggunakan kelebihan ini. Jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini, sudah tentu kita akan mengalami suatu kerugian besar.
Keenam-enam konsep ini telah diterapkan sedikit demi sedikit dalam program MAHIR. Pemilihan perkataan MAHIR ini berdasarkan beberapa faktor. Antaranya ialah mahir adalah kata pinjaman yang berasal daripada Bahasa Arab. Ia mudah difahami dengan mudah oleh kebanyakan warga Malaysia.